Penyeludupan tumpas, rokok bernilai hampir setengah juta ringgit dirampas

0

SEMPORNA:  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok dengan tertangkapnya seorang lelaki warga asing serta merampas sejumlah rokok pelbagai jenama bernilai hampir setengah juta ringgit di sini baru-baru ini.

Dalam kejadian pada Rabu kira-kira jam 7.45 malam itu, dua daripada suspek bagaimanapun berjaya melepaskan diri selepas bertindak terjun ke dalam laut apabila bot jongkong yang dinaiki mereka dikejar sepasukan anggota penguatkuasa marin kastam cawangan Lahad Datu di kawasan perairan Semporna.

Pengarah Kastam Sabah, Dr Jonathan Kandok berkata selepas menahan bot terbabit, seorang suspek berumur 47 tahun berjaya diberkas dan hasil pemeriksaan yang dibuat turut menemui 43,000 bungkus rokok.

“Nilai keseluruhan rokok yang dirampas itu ialah RM494,862.30 dan kesemua rokok terbabit dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dijual kepada penjaja haram di kawasan kedai dan pasar am daerah ini (Semporna),” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Janathan berkata, kawasan serbuan dan tangkapan yang dibuat itu sebelum ini telah dikenal pasti sebagai antara laluan yang digunakan untuk menyeludup masuk rokok dari negara jiran.

“Pihak kastam khususnya pasukan kastam marin akan terus menjalankan operasi di kawasan-kawasan perairan yang telah dikenal pasti sebagai laluan kepada peneyeludup rokok,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan rokok di daerah itu mahupun di daerah-daerah lain agar menghubungi talian hotline kastam di nombor 1-800-88-8855.

Suspek dan barang rampasan terbabit kini ditahan untuk siasatan mengikut seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.