SESB guna kaedah Senggaraan Talian Hidup

0

Rahim menguji pakaian keselamatan pengalir elektrik yang dipakai oleh salah seorang anggota SESB.

TELIPOK: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kini mampu melaksanakan kerja penyelenggaraan talian penghantaran yang berkeupayaan 132 kilovolt (kV) dan 275 kV dengan menggunakan kaedah Senggaraan Talian Hidup yang julung kalinya di Borneo.

Pengarah Urusannya, Ir Abdul Razak Sallim berkata bagi merealisasikan perkara itu, Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta bagi memperkasa kaedah senggaraan sistem perkhidmatan talian penghantaran itu.

Katanya, kaedah senggaraan yang dilakukan di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan tanpa mematikan bekalan elektrik itu merupakan antara langkah pihak SESB untuk memperbaiki sistem bekalan elektrik di Sabah.

“Penyelangaraan berkala ini sangat kritikal kepada sistem bekalan elektrik di seluruh Sabah dan WP Labuan.

“Selain itu, pelaksanaan insentif ini juga adalah langkah terbaik bagi mengelakkan gangguan terhadap pengguna semasa kerja penyelanggaraan dilakukan.

“Dengan sistem tanpa mematikan elektrik ini, diharap bekalan akan berterusan dan memberi kesan yang positif dalam bidang ekonomi, sosial dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika tinjauan latihan kerja Live-Line SESB di Menara 42, 132kV Kolopis-Kota Belud, kelmarin.

Dalam pada itu, seramai 15 anggota SESB berjaya menamatkan latihan insentif talian hidup yang diselia oleh Jurulatih dari Electricity Industry Training Institute (EITI), Kanada iaitu Al Wither dan Darcy Davis.

“Untuk makluman, SESB mempunyai anggota kerja yang cekap melakukan kerja-kerja ini dan program di bawah bahagian penghantaraan ini diketuai oleh Ketua Jurutera, Ir Mohd Yaakob Jaafar,” kata Razak.

Beliau berkata, setakat ini jarak talian penghantaran 275kV di Sabah adalah sejauh 245 kilometer iaitu daripada Kolopis Penampang ke Segaliud Sandakan, manakala rangkaian talian penghantaraan 132kV pula melibatkan jarak hampir 1,700 kilometer di seluruh Sabah dan Labuan.

“Talian 275kV dan 132kV ini merupakan rangkaian sistem Sambungtara Grid yang menghubungkan bekalan elektrik setiap hari seluruh Sabah dan Labuan.

“Sebelum ini, talian yang memerlukan penyelanggaraan segera terpaksa dihenti buat seketika namun dengan adanya pengetahuan dan kemahiran ini, kerja penyelangaraan dapat dilakukan dengan efisien dan selamat,” katanya.

Tambahnya, SESB juga yakin pelaburan jangka panjang itu dapat membantu SESB mengurangkan tempoh masa gangguan bekalan atau sistem Average Interuption Duration Index (SAIDI) ke tahap paling minimum.

Turut serta dalam tinjauan itu, Pengurus Besar (penghantaran) SESB, Yap Kok Lan, dan Pengurus Besar Kanan (Pengurus Aset) SESB, Ir. Ahmad Fuad Md Kasim.