Semakin banyak koperasi ditubuhkan di Sabah

0

KOTA KINABALU: Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak koperasi ditubuhkan di Sabah memandangkan semakin ramai yang menyedari tentang manfaatnya.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah, Umar Sarim Saidin berkata, tahun lepas sebanyak 200 koperasi baru didaftarkan di negeri ini berbanding hanya 20 koperasi sahaja lima tahun lepas.

Menurutnya, setakat ini terdapat sebanyak 872 koperasi di Sabah yang mana 95 peratus daripadanya adalah koperasi yang aktif.

“Di Sabah hanya segelintir sahaja koperasi yang dibatalkan pendaftarannya dan SKM sentiasa memberi galakan dan bantuan kepada koperasi yang tidak aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran Mesyuarat Agung Koperasi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini kelmarin.

Umar berkata, kebanyakan koperasi di negeri ini terlibat dengan pemborongan dan perniagaan runcit serta perladangan dan perkhidmatan.

“DBKK adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kedua yang menubuhkan koperasinya sendiri selepas Majlis Daerah Keningau pada tahun 2003.

“Majlis Daerah Keningau berjaya mendapat perolehan tahunan lebih kurang RM4 juta secara keseluruhan yang mana mereka telah meletakkan satu penanda aras bagi  PBT lain di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, penting bagi semua ahli koperasi untuk saling bekerjasama bagi memastikan kejayaan koperasi yang ditubuhkan.

Sementara itu, Mayor DBKK, Datuk Abidin Madingkir berkata, koperasi DBKK ditubuhkan bertujuan meningkatkan sosio-ekonomi para ahlinya.

Di samping itu katanya, koperasi berkenaan turut membantu menjaga kebajikan ahli koperasi dengan menjana pendapatan tambahan mereka.

“Penubuhan koperasi ini juga dapat menghindarkan para ahli daripada terlibat dengan peminjaman wang secara haram atau ‘along’ sebagai bantuan masalah kewangan,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah DBKK, Datuk Yeo Boon Hai dan Timbalannya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Koperasi DBKK, Joannes Solidau.