Sandiwara politik pembangkang

0

BERSIH 3.0 tidak perlu, cuma mengotorkan imej negeri, kata Fadillah

KENANGAN: Fadillah merakamkan gambar kenangan bersama belia dan peserta yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Sri Keranji 2012 di Kuching semalam.

KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan supaya tidak terpedaya dengan mainan politik pembangkang untuk mengadakan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini di Padang Merdeka di sini.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Fadillah Yusuf berkata, jika mereka ikhlas dalam perjuangan, maka mereka tidak akan meneruskan perhimpunan tersebut.

Ini kerana, menurut Fadillah, memang nampak dan nyata strategi mereka adalah untuk mengadakan lebih kepada demonstrasi jalanan bagi membangkitkan kemarahan dalam kalangan rakyat.

Justeru tegasnya, jika mereka benar-benar ikhlas untuk menambah baik sistem pilihan raya negeri dan negara, maka tidak perlu diadakan demostrasi seumpama itu.

“Masih banyak peluang dan ruang cara untuk kita menambah baik sistem pilihan raya kita.

“Sebab itu bila ditubuhkan jawatankuasa penambahbaikan sistem pilihan raya ia diwakili oleh semua pihak.

“Dan kalau kita melihat secara mendalam laporan yang telah dinyatakan, mereka telah mengambil kira semua pandangan dan cadangan untuk dibawa ke Parlimen.

“Malangnya, disebabkan memang telah dirancang oleh mereka supaya perkara ini tidak dibahaskan di Parlimen dan mereka lebih suka membawanya ke jalanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Kejohanan Sepak Takraw Piala Sri Keranji 2012 anjuran Kelab Sri Keranji bertempat di Kampung No.3, Lorong Haji Lembong di sini semalam.

Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut menegaskan kepada rakyat Sarawak agar memahami niat sebenar pembangkang untuk melakukan perhimpunan BERSIH 3.0 yang mana pada beliau bukan niat yang baik.

Bagi Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, ia hanya akan mengotorkan imej negeri, menakutkan pelancong dan pelabur yang mana akhirnya memberi kerugian kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Susulan perhimpunan yang dijadualkan akan diadakan pada 28 April ini, Fadillah turut berharap pihak polis akan memantau supaya pertama ia dapat menjaga ketenteraman awam, lalu lintas tidak terganggu serta orang yang berniaga tidak kerugian.

Bagaimanapun, pada pihak Pemuda katanya, mereka tidak akan mengambil tindakan untuk berlawan sebab mereka sedar dan tahu perkara itu tidak akan mendatangkan hasil.

“Sebab itu kita akan memantau dan memastikan mereka mengikuti segala proses dan peraturan dan kalau mereka melampaui batas, maka kita perlu mengambil tindakan di bawah perundangan sedia ada,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Publisiti PKR See Chee How memberitahu perhimpunan tersebut merupakan anjuran beberapa NGO dan disokong penuh oleh parti komponen Pakatan Rakyat.

Dianggarkan sekitar 400 penyokong dijangka menyertai perhimpunan yang akan diadakan secara aman itu di sini dan penganjur akan memohon permit polis dalam tempoh terdekat ini.