Bantuan kerajaan tidak bermusim

0

 

SATU MALAYSIA: Chin, Sebastian dan Karambir mengangkat poster yang digulung melambangkan 1Malaysia bersama penduduk Kampung Sealine, Lutong semalam.

Bantu rakyat bukan hanya semasa pilihan raya tetapi sepanjang musim

MIRI: Kerajaan membantu rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah bukan hanya semasa menjelang pilihan raya, tetapi sebaliknya sepanjang musim.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata, sebelum ini pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh kerajaan termasuk di Miri, khususnya untuk rakyat yang kurang bernasib baik.

Menurut beliau, bantuan itu termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 dan bantuan RM100 untuk anak-anak sekolah di sekolah rendah dan sekolah menengah dan Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M).

“Semua bantuan itu bertujuan meringankan beban rakyat yang berpendapatan rendah dan miskin.

“Bukannya untuk memancing undi seperti yang digembar-gemburkan pembangkang,” katanya berucap pada majlis pengagihan bantuan RM100 kepada lebih 300 ketua isi rumah di Balai Raya Kampung Sealine, Lutong semalam.

Bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Perdana Menteri itu bertujuan membantu ibu bapa di kawasan Parlimen Miri membiayai persekolahan anak-anak, iaitu tambahan daripada bantuan RM100 yang diberikan kerajaan awal sesi persekolahan lalu.

Sehubungan itu, Chin yang juga Ahli Parlimen  Miri mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya dengan dakyah pembangkang yang hanya tahu memutar-belit fakta dan cuba memesongkan fikiran rakyat.

“Rakyat perlu bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) agar usaha untuk membantu ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Sebaliknya, jika rakyat berpihak kepada pembangkang saya sebagai wakil BN tidak dapat tolong anda lagi,” katanya.

Dalam konteks ini katanya, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan terus komited untuk membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah, khususnya yang tinggal di setinggan.

“Sebagai presiden parti dan pemimpin tertinggi parti, sudah pasti golongan ini mendapat perhatian.

“Kami akan tolong dan lakukan yang terbaik dengan adanya sokongan padu yang berterusan,” katanya.

Chin dalam pada itu berterima kasih kepada penduduk Kampung Sealine yang sebelum ini memberi sokongan terhadap kepimpinan beliau.

Hadir sama Setiausaha Politik beliau merangkap Pengerusi SUPP Cawangan Piasau Datuk Sebastian Ting dan Setiausaha Agung SUPP Cawangan Piasau Karambir Singh.