Monday, September 23

407,432 penduduk S’wak belum daftar sebagai pengundi

0

SIBU: Seramai 407,432 warganegara Malaysia yang mencapai usia 21 tahun dan layak mengundi di negeri ini masih belum mendaftar sebagai pemilih.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyeru mereka yang masih belum mendaftar sebagai pemilih agar berbuat demikian dengan segera.

“Jumlah yang masih belum berdaftar ini bersamaan dengan 28 peratus.

“Daftar pemilih bagi suku kedua tahun ini akan berakhir pada bulan Jun ini. Mereka yang layak dan belum mendaftar masih sempat untuk mendaftar sebagai pemilih pilihan raya,” jelasnya.

Abdul Aziz berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)Negeri Sarawak yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.

Taklimat dua hari itu dihadiri seramai 79 pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus dari 15 kawasan Parlimen di wilayah tengah. Hadir sama ialah Pengarah Pilihan Raya Negeri Sarawak Datu Takun Sunggah.

Tujuan taklimat adalah untuk memberi penerangan kepada pengurus pilihan raya mengenai peraturan, dan undang-undang perjalanan pilihan raya.

Setakat ini, ujar Abdul Aziz, negeri ini mempunyai seramai 1,024,240 pengundi berdaftar.

“Seperti biasa, peratus keluar mengundi di negeri ini adalah tidak kurang daripada 75 peratus, kita berharap peratus keluar mengundi PRU13 akan meningkat kepada 80 peratus,” ujar beliau.

Tambah beliau, SPR juga tidak akan mengeluarkan sebarang pas penyokong untuk mendekati pusat penamaan calon seperti sebelum ini pada PRU13 nanti.

“SPR telah mengeluarkan pas yang membenarkan seramai 100 penyokong parti untuk berada di pusat penamaan calon. Kita sediakan khemah menunggu, makanan dan kemudahan lain kepada mereka.

“Bagaimanapun, kali ini SPR tidak akan berbuat demikian. Kita tidak menggalakkan mereka (penyokong) datang beramai-ramai pada penamaan calon,” jelasnya.

Katanya lagi, proses PRU13 Sarawak dianggarkan menelan perbelanjaan RM80 juta dan ia merangkumi perbelanjaan helikopter, pelbagai jenis perahu dan kenderaan berkuasa tinggi (4WD) yang akan digunakan.

Takun ketika ditemui pula berkata, jika berdasarkan Pilihan Raya Negeri yang lepas, peruntukan logistik membabitkan penggunaan 27 buah helikopter, kira-kira 1,000 perahu pelbagai jenis, 4,000 kenderaan berkuasa tinggi serta 21,000 pegawai.