Kerajaan digesa memansuhkan cabutan khas nombor ramalan

2

KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen menggesa kerajaan memansuhkan cabutan khas atau ‘Special draw’ nombor ramalan kerana ia membebankan rakyat menerusi pembayaran cukai pendapatan sebanyak 10 peratus.

Beliau berkata,  pada tahun 2010 jumlah kutipan cukai perjudian untuk cabutan khas daripada syarikat-syarikat induk nombor ramalan bagi tahun 2010 ialah RM129.2 juta, pada 2011 sebanyak RM127.1 juta dan RM29.8 juta untuk tempoh dua bulan tahun ini (Januari hingga Februari).

“Cabutan khas nombor ramalan harus dimansuhkan kerana ia jelas membebankan rakyat menerusi pembayaran cukai atau kerajaan mengurangkan kadar cukai pendapatan dikenakan ke atas cabutan khas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri di sini semalam.

Chong yang juga Setiausaha DAP Negeri turut mencadangkan agar kadar pulangan kepada pemain nombor taruhan yang berjaya dinaikkan kepada 90 peratus berbanding hanya 64 peratus ketika ini.

Beliau menjelaskan kadar pulangan sekarang iaitu 64 peratus memberi keuntungan yang besar kepada syarikat-syarikat  induk nombor ramalan iaitu sebanyak 36 peratus daripada jumlah wang taruhan dikumpul.

Di Malaysia katanya, hadiah tempat pertama untuk nombor ramalan (4D) ialah RM2,500, tempat kedua RM1,000, RM500 bagi tempat ketiga dan 10 hadiah istimewa bernilai RM180 setiap satu dan 10 hadiah sagu hati RM60 setiap satu.

“Kalau boleh naikkan kepada 90 peratus iaitu nombor satu, dua, tiga dan empat kemudian 20 pemenang hadiah istimewa begitu juga hadiah sagu hati,” katanya.

Beliau memberitahu media, statistik daripada Kementerian Kewangan yang diperolehi semasa Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini menunjukkan jumlah kutipan cukai perjudian daripada syarikat-syarikat berkenaan tahun lalu (2011) ialah RM1.3 bilion.

“Tahun 2010 jumlah kutipan cukai perjudian ialah RM1.2 bilion dan untuk dua bulan pertama tahun ini sahaja (Januari hingga Februari) ialah RM255 juta… kalau didarab enam maka jumlah keseluruhan kutipan cukai bagi 2012 ialah kira-kira RM1.5 bilion.

“Kerajaan mengenakan cukai syarikat sebanyak 25 peratus daripada jumlah keuntungan diperoleh, bermakna setiap tahun syarikat-syarikat induk nombor ramalan boleh memperoleh keuntungan sekitar RM4 bilion hingga RM5 bilion,” jelasnya.

Beliau menambah jika dibandingkan dengan operasi (syarikat) nombor ramalan dengan bank komersial, syarikat induk nombor ramalan memperoleh keuntungan yang besar menerusi pengeksploitasian.

Menurutnya, bank juga mengambil wang daripada orang ramai terlebih dahulu dan memperkenalkan kadar deposit tetap dengan kadar faedah sebanyak satu hingga dua peratus manakala pinjaman pada kadar tujuh hingga lapan peratus.

“Kita tahu rata-rata bank merekodkan margin keuntungan hanya enam peratus tetapi mereka masih boleh memperoleh keuntungan berjuta-juta ringgit setiap tahun…apa lagi syarikat-syarikat nombor ramalan.

“Oleh itu saya menggesa agar kerajaan mengkaji semula peraturan-peraturan dikenakan ke atas syarikat-syarikat 4D dengan itu kadar pulangan dapat ditambah sekurang-kurangnya kepada 90 peratus,” ujarnya.