PKR T’ganu terima keputusan PAS berhubung jumlah kerusi

0

KUALA TERENGGANU: Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Terengganu hanya mampu menerima keputusan PAS memberikan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kawasan Parlimen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pengerusinya Azan Ismail berkata, sekiranya PKR sudah dianggap sebagai pengemis, parti itu akan menerima apa sahaja keputusan berhubung jumlah kerusi untuk ditandingi. — Bernama

“Kalau dia (PAS) rasa kita ni macam pengemis, kita terima sajalah apa yang dia beri. Apa kita nak kata lagi sebab dia rasa dia hebat, dia lebih kuat dari kita.

“Saya hairan kenapa kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi Lujnah Pendidikan PAS Pusat dan tidak oleh peringkat tertinggi parti PAS itu sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan oleh Pengerusi Lujnah Pendidikan PAS Pusat Datuk Abu Bakar Chik semalam yang secara terbuka mengakui PAS negeri Terengganu lebih kuat berbanding PKR dalam menghadapi Pilihan Raya Umum nanti.

Sehubungan itu, PAS hanya akan membenarkan PKR meletakkan tidak lebih daripada tujuh calonnya pada pilihan raya umum nanti iaitu lima di DUN dan dua di Parlimen.

Sebelum ini, PKR Terengganu mengumumkan hasrat untuk bertanding 11 kawasan DUN dan tiga kerusi Parlimen dalam usaha pembangkang menawan negeri ini. — Bernama