Sagan: Saya bukan ‘monster’

5

Dakwaan terima kontrak RM63 juta dari projek Empangan Baram tidak berasas

MIRI: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan menyifatkan laporan sebuah portal yang mendakwa beliau menerima kontrak bernilai RM63 juta melalui firma yang dimiliki keluarganya adalah sesuatu yang di luar kepercayaan.

“Saya bukan monster (raksasa), saya hanya mahu menolong rakyat di Baram dengan cara yang terbaik walaupun ber- hadapan dengan sumber yang terhad.

“Justeru, dakwaan mengenai saya memiliki kontrak berjuta-juta ringgit itu adalah tidak logik kerana saya sendiri tidak pernah melihat duit sebanyak itu,” ujarnya ketika ditemui media selepas merasmikan penubuhan Jawatankuasa Kawasan Telang Usan Tengah (KATENGAH) di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Baram berkata demikian ketika mengulas pendedahan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Switzerland, Dana Bruno Man-ser (BMF) bahawa ahli keluarganya menerima konsesi balak dan kontrak-kontrak lumayan.

Menurut laman berita portal itu, kontrak-kontrak bernilai jutaan ringgit itu diberikan kepada Sagan sebagai balasan kepada sokongan beliau terhadap pelaksanaan projek pembinaan Empangan Baram bernilai RM4 bilion yang dibina di konstituensinya.

Ujar Sagan, tuduhan itu sama sekali tidak berasas dan beliau sudah mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Pihak berkenaan hanya bertujuan menyerang saya secara peribadi dan ini tidak adil. Mereka bebas menulis apa sahaja tanpa mengambil kira ia adalah fakta ataupun pembohongan,” katanya.

Mengulas sama ada isu Empangan Baram merupakan satu cabaran pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti, Sagan berkata, Barisan Nasional (BN) sudah bersiap sedia menghadapi cabaran itu.

“Saya sudah lali, (pada) pilihan raya dulu-dulu, isu Jalan Lapok dibangkitkan. Seka-rang, isu itu sudah selesai, me-reka bangkitkan isu Empa-ngan Baram pula untuk me-raih undi,” katanya.

Menurut Sagan, mereka sudah mengambil pendekatan yang terbaik termasuk bermesyuarat dan berjumpa dengan penduduk kampung di hampir seluruh kawasan Baram untuk memberi penerangan tentang projek itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata, penduduk Baram harus melihat pembinaan empangan itu dari sudut positif.

“Dengan saiz Baram sebesar Pahang, sukar untuk kita membangun dan membawa kemajuan di Baram. Justeru, projek empangan ini perlu untuk mempercepatkan pembangunan di situ sekali gus memanfaatkan penduduk Baram sen-diri,” katanya.