UiTM hampir sapu bersih

0

Naib juara di belakang UPM dari segi kutipan pingat MASUM 2012

KOTA SAMARAHAN: Kontinjen Universiti Teknologi Mara (UiTM) hampir menyapu bersih juara keseluruhan dalam 14 acara yang dipertandingkan apabila muncul juara keseluruhan dalam sembilan acara pada Karnival Sukan MASUM 2012 (Fasa 1) yang melabuhkan tirainya di sini semalam (Sabtu).

Walau bagaimanapun, dalam statistik punggutan pingat keseluruhan, UiTM menduduki tangga kedua dengan memunggut 23 emas, 42 perak, 18 gangsa dan meraih 83 pingat keseluruhan.

Mengungguli carta punggutan pingat ialah Universiti Putra Malaysia (UPM) yang merangkul 35 pingat emas, 13 perak dan 15 gangsa sekali gus membawa balik 63 pingat secara keseluruhannya.

Sebanyak 14 acara membabitkan lapan jenis sukan dipertandingkan pada fasa pertama temasya ini iaitu badminton, catur (lelaki dan wanita), futsal (lelaki dan wanita), memanah (lelaki dan wanita), renang, skuasy (lelaki dan wanita), tenis (lelaki dan wanita) dan tenpin boling (lelaki dan wanita).

“Kita amat gembira kerana berjaya membawa balik sembilan trofi juara dalam pelbagai acara yang dipertandingkan. Kejayaan itu adalah bukti komitmen serta semangat juang yang ditunjukkan oleh semua atlet sepanjang temasya kali ini,” ujar Ketua Kontinjen UiTM, Mohd Fisol Saud ditemui selepas majlis penutupan temasya di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR), Unimas semalam.

Mohd Fisol berkata kejayaan cemerlang itu pasti akan menjadi dorongan utama buat atlet-atlet UiTM bagi menghadapi cabaran fasa kedua kejohanan yang bakal diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor pada Julai depan.

UiTM mengekalkan reputasi sebagai gergasi sukan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan muncul juara acara catur lelaki dan wanita, futsal lelaki dan wanita, memanah (wanita), skuasy (lelaki), tenis (lelaki dan wanita) dan boling wanita.

“Kita yakin para atlet akan terus meningkatkan usaha mereka dalam menghadapi cabaran lebih getir pada MASUM Fasa II di Johor, Julai nanti,” katanya.

Sementara itu, UPM berjaya mengungguli acara badminton, skuasy wanita dan memanah lelaki manakala Universiti Malaya (UM) menguasai acara boling lelaki dan renang.

Tuan rumah, UNIMAS berjaya meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa dalam acara boling beregu lelaki dan All Events serta acara renang 100 meter kuak lentang wanita.

Berucap merasmikan penutupan temasya itu, Naib Canselor Unimas, Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid melahirkan rasa bangga atas kejayaan Unimas yang diberi peluang sebagai tuan rumah temasya sukan terbabit.

“Ini merupakan cabaran besar yang kami tempuhi dalam menyediakan prasarana sukan yang terbaik untuk menjadi penganjur kejohanan sukan IPT peringkat kebangsaan.

“Saya ingin merakamkan tahniah kepada semua kontinjen (IPT) yang telah berjuang dengan semangat tinggi memburu kejayaan dalam kejohanan sukan berprestij ini,” katanya.