Peluang terbuka untuk eksport sarang burung walit ke China: Noh

0

KUALA LUMPUR: Pengusaha dan syarikat sarang burung walet tempatan mempunyai peluang yang luas untuk mengeksport produk mereka ke China, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Bagaimanapun, mereka perlu mematuhi tiga syarat utama iaitu memiliki sijil ‘Veterinary Health Mark’ (VHM) dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Sjil Kesihatan Haiwan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pemeriksaan Pengesanan Frekuensi Radio (RFID), iaitu satu sistem bagi mengesan tempat asal sarang burung walet itu.

Kerajaan mengenakan syarat-syarat itu sebagai langkah proaktif dalam memastikan produk yang dieksport ke China adalah yang terbaik dan berkualiti tinggi, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Antarabangsa Discus Malaysia Ke-6 2012 di sini semalam.

Sementara itu, Noh menyangkal dakwaan 200 pengusaha yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini kononnya aktiviti mengeksport sarang burung walit dimonopoli oleh syarikat-syarikat tertentu sahaja.

“Saya minta mereka yang mendakwa ini tampil bersemuka dengan saya dan mengemukakan bukti berdasarkan kenyataan mereka.

“Setakat ini terdapat lapan syarikat yang dibenar menjalankan aktiviti itu menerusi syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Presiden Persatuan Discus Malaysia, Foo Pin Khooi berkata pameran Discus itu yang sepatutnya diadakan di Duisburg, Jerman tahun ini adalah pertandingan ikan hiasan Discus peringkat antarabangsa. — Bernama

“Terdapat sembilan kategori bagi ikan hiasan ‘Discus’ yang akan dipertandingkan dan juara setiap kategori akan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan trofi, tempat kedua dan ketiga masing-masing berjumlah RM500 dan RM300 serta trofi.

“Pemenang bagi setiap kategori akan bertanding untuk merebut hadiah utama bernilai wang tunai RM15,000 serta trofi bersalut emas bernilai RM7,000,” katanya.

Pertandingan antarabangsa ini adalah yang terbesar di dunia pernah diadakan setakat ini. Sebanyak 290 penyertaan diterima melibatkan kira-kira 18 negara seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan Malaysia. — Bernama