Enam kawasan kelabu

3

Bertindak sekarang, jangan tunggu Parlimen dibubar: Ahmad

KUCHING: Enam kawasan kelabu dikenal pasti daripada 31 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Menurut Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Datuk Ahmad Maslan, berdasarkan pemantauan yang dibuat, Kuching, Sibu dan Sarikei dikenal pasti antara kerusi terbabit.

“Pada pandangan saya, kawasan kelabu adalah di mana Barisan Nasional (BN) menang atau kalah dengan jumlah undi yang kecil dan Kuching dan Sibu adalah dua kerusi yang tewas manakala Sarikei menang tipis,” katanya kepada media ketika ‘walkabout’ ke Kampung Sejingkat di sini semalam.

Pada program tersebut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, ditemani oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan mengedarkan risalah mengenai program yang dianjurkan oleh kerajaan.

Antara risalah-risalah yang diedarkan ialah mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Mengulas mengenai ‘walkabout’ itu, Ahmad berkata, pengedaran risalah-risalah akan membolehkan rakyat mempelajari lebih banyak mengenai program kerajaan yang telah dilaksanakan untuk membantu rakyat.

Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan wakil rakyat dalam parti agar mempergiatkan program ‘walkabout’ di lokasi-lokasi awam seperti pasar, perhentian bas dan lain-lain.

“Kita perlu mula mengambil tindakan sekarang dan tidak hanya menunggu hingga Parlimen dibubarkan untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kita,” tegas Ahmad.

Ditanya mengenai peluang BN memenangi semla Kuching dan Sibu, beliau berkata: “Apa-apa boleh berubah dan saya percaya mereka ada peluang kerana rakyat telah melihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ikhlas membantu rakyat.” Menurutnya lagi, BN mampu merubah persepsi masyarakat bandar yang cenderung menyokong pembangkang jika kempen penerangan dasar dilakukan secara berkesan dan berterusan.

Katanya, penerangan berkenaan Gagasan 1Malaysia dan dasar-dasar lain yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu dihebahkan kepada masyarakat secara berterusan dan bukan hanya semasa menjelang pilihan raya.

“Dari sehari ke sehari (penerangan dasar dibuat secara berterusan) tentunya rakyat akan berfikir tentang faktor Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) dan faktor 1Malaysia. Ini boleh merubah persepsi penduduk bandar,” katanya.