LAKMM mahu lahir lebih ramai cendekiawan Islam

2

MIRI: Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) mahu melahirkan lebih ramai cendekiawan Islam dari kaum Melayu menerusi tajaan pengajiannya untuk pelajar-pelajar Melayu di sini.

Pengerusinya, Datuk Abdillah Abdul Rahim berharap lebih ramai pelajar Melayu di sini tampil memanfaatkan bantuan biasiswa itu yang baharu dilancarkan oleh LAKMM untuk menarik mereka melanjutkan pengajian dalam bidang ilmu agama.

Menurut beliau, mereka berpeluang mengikuti pengajian berkenaan di Sekolah Agama Bestari, Imtiaz di Terengganu yang merupakan antara institusi pendidikan tersohor di negeri berkenaan.

Selain bidang agama, katanya, pelajar sekolah berkenaan berpeluang menguasai pelbagai ilmu lain seperti Sains, Matematik, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kemahiran bersosialisasi dan kepimpinan.

“Kita (LAKMM) menawarkan biasiswa untuk pelajar-pelajar Islam di sini khasnya yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang agama di institusi pengajian tempatan. Tetapi sambutan yang diberikan masih kurang.

“Oleh kita, kita berharap pihak pengurusan akan mempertingkatkan usaha agar pelajar kita yang mahu melanjutkan pengajian agama mereka dapat menggunakan peluang ini.

“Menerusi kerjasama kita dengan Imtiaz, kita berharap dapat melahirkan cendekiawan-cendekiawan dalam bidang agama,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan bantuan LAKMM di Hotel Mega di sini, semalam.

Abdillah berkata, bantuan tidak terhad kepada mereka yang melanjutkan pelajaran ke Imtiaz, tetapi mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) yang menawarkan kursus pengajian agama Islam.

Terdahulu, Setiausaha LAKMM, Jamil Bujang memberitahu, sejak ditubuhkan pada tahun 1951, antara objektif utama LAKMM ialah meningkatkan kemajuan anak-anak dari kaum Melayu dalam bidang pendidikan dan berbuat kebajikan.

“Kita ingin melihat anak-anak kita (Melayu) meningkat dan lebih jauh dari masalah keciciran pelajaran kerana kita tahu pendidikan merupakan faktor kejayaan anak-anak kita,” jelasnya.

Untuk keperluan pelajar, LAKMM menubuhkan Sekolah Agama Rakyat dan mengendalikan kelas bimbingan tuisyen untuk calon-calon UPSR dan SPM, jelasnya.

Dari segi bantuan akademik, katanya, LAKMM menawarkan bantuan terhad pendidikan untuk pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah dan IPT.

Menurut Jamil lagi, bermula tahun ini, LAKMM menaja pelajar yang berminat untuk mengikuti kursus pengajian agama Islam ke IPT dan sekolah agama seperti Sekolah Agama Imtiaz di Terengganu.

Selain akademik, LAKMM turut menawarkan bantuan kebajikan untuk kaum Melayu memerlukan seperti bantuan sara hidup, perubatan dan kemiskinan.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang memerlukan bantuan digalak untuk menghubungi LAKMM bagi penilaian jenis bantuan yang bakal diterima.

Pada majlis semalam, seramai 61 penerima terdiri daripada pelajar, penduduk memerlukan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) me-nerima bantuan daripada LAKMM.

Bantuan yang disampaikan ialah bantuan NGO (empat), bantuan perubatan/sara hidup (10 orang), bantuan pendidikan untuk sekolah rendah, menengah dan IPT (36 orang), bantuan UPSR (sembilan orang) dan bantuan tajaan pelajar (dua orang).

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Timbalan Datuk Bandar Mohd Chee Kadir, Kaunselor Khatijah Datuk Muip dan Temenggung Abdul Rahman Fadzail.