Martabatkan Warisan Pembuatan LEPA: Shafie

1

SEMPORNA: Pesta Regatta Lepa merupakan temasya gemilang mengangkat seni warisan budaya suku kaum Bajau dan memfokus kepada kegemilangan perahu yang dinamakan ‘Lepa-Lepa’.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Lepa dalam bahasa Bajau itu menjadikan Anjung Lepa meriah dengan pelbagai warna dan bentuk perahu yang turut serta dalam pesta setahun sekali.

“Usaha memartabatkan warisan budaya masyarakat Bajau ini perlu digerakkan dengan lebih proaktif dalam usaha memelihara budaya tempatan sejajar perkembangan zaman sekarang yang semakin mencabar.

“Ia juga mampu memberi pendapatan tambahan kepada sektor pelancongan melalui pengenalan dan penjualan nilai-nilai budaya masyarakat Bajau yang unik dan padat dengan estetikanya yang tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Regatta Lepa Ke 19 di Dataran Regatta Lepa Semporna, di sini kelmarin.

Menurutnya, Lepa Bajau merupakan medium perantara terpenting yang telah wujud sekian lama di Daerah Semporna.

“Sejarah juga ada menyatakan bahawa pedagang-pedagang serta ulama menggunakan Lepa ini sebagai pengangkutan yang paling praktikal pada zaman itu,” jelasnya.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin, Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Sri Nasir Tun Sakaran, Yang Dipertua Usia Negeri Sabah, Tun Dr Sakaran Dandai, Adun N54 Bugaya, Datuk Ramlee Hj Marahaban dan Adun N52 Sulabayan, Datuk Harman Hj Mohammad, Ketua Setiausaha KKLW, Dato’ Ibrahim Muhamad dan Exco-Exco Luar Bandar Negeri.

Sehubungan itu, Shafie menyeru supaya usaha memartabatkan warisan ini perlu dilaksana dengan lebih proaktif dan gigih.

“Memelihara warisan budaya kita adalah tanggungjawab bersama supaya ia akan menjadi rujukan dan contoh terbaik kepada generasi anak muda kelak,” kata Shafie.