Raja Permaisuri Agong dijangka rasmi Pekan Nat Pandu Puteri 2012

0

ALOR SETAR: Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dijangka merasmikan Pekat Nat Pandu Puteri 2012 di pekarangan Menara Alor Setar pada 4 Mei depan.

Menurut kenyataan Unit Perhubungan Awam dan Acara Menara Alor Setar, Tuanku Hajah Haminah merupakan Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia.

Menurut kenyataan itu Pekan Nat telah bermula kelmarin sehingga 5 Mei ini dan diadakan sempena 80 tahun penubuhan Persatuan Pandu Puteri Cawangan Negeri Kedah.

Selain itu, ia juga memberi peluang kepada anggota Pandu Puteri Tunas, Pandu Puteri Remaja, Pandu Puteri Renjer dan pemimpin dari lapan daerah di Kedah untuk menjalankan perniagaan bagi memungut dana untuk menampung aktiviti persatuan di setiap daerah.

Program itu dibuka secara percuma kepada seluruh rakyat Kedah dan sekitarnya bermula jam 9 pagi hingga 12 malam.

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti pertandingan ‘Battle of The Band’, persembahan artis seperti Ukays, Pian Cecupak, Hail Amir dan Zuar XPDC, wayang kulit Seri Asun dan 50 gerai jualan,” kata kenyataan itu.

Sepanjang program itu seramai 11 peserta antarabangsa dari Pakistan, Filipina, Lubnan, Zambia dan Yemen akan mempamerkan aktiviti dari negara masing-masing dengan tema ‘Perayaan Seratus Tahun’ yang dilancarkan oleh World Association of Girl Guides and Girl Scouts (WAGGGS). — Bernama