Thursday, May 23

400,000 penduduk Sabah dan Labuan ‘bergelap’ ekoran kerosakan pencawang

0

KOTA KINABALU: Insiden bekalan elektrik terputus pada jam 3.23 pagi kelmarin melibatkan hampir seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah disebabkan kerosakan salah satu pencawang Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Penampang.

Pengurus Besar Kanan SESB, Ahmad Fuad Md Kassim, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati salah satu pepasangan 66 kv atau capacitive voltage transformer (CVT) pencawang masuk utama di daerah berkenaan telah mengalami kerosakan.

“SESB memohon maaf atas kesulitan dihadapi pengguna dan kita masih menyiasat punca sebenar kerosakan pencawang berkenaan,” katanya dalam sidang media di sini petang kelmarin.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, banyak stesen janakuasa di Sabah dan Labuan terpelantik serta memaksa SESB mengaktifkan catuan bekalan kecemasan bagi memastikan kestabilan sistem Grid Sabah.

Menurutnya, dianggarkan lebih 400,000 pengguna terjejas malah kejadian yang disifatkan ‘luar biasa’ itu telah menyebabkan talian hotline sesak.

Bagaimanapun Ahmad Fuad berkata pihaknya telah berjaya memulihkan bekalan secara berperingkat-peringkat bermula 6.40 pagi kelmarin.