Pemuda PBB harap ahlinya dicalonkan

0

Pergerakan yakin pucuk pimpinan akan beri peluang kepada beberapa muka baharu

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Negeri yakin pucuk pimpinan tertinggi parti akan memberi peluang kepada beberapa muka baharu barisan Pemuda pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Setiausaha Agungnya, Gerald Rentap Jabu berkata barisan Pemuda PBB Negeri sememangnya berharap setiap kali pilihan raya negeri atau pusat ahli-ahlinya akan dicalonkan.

“Kami sememangnya mempunyai ahli-ahli yang profesional dan layak untuk dipilih sebagai calon pada PRU13 nanti,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Rentap turut hadir pada sidang media sempena Pelancaran Program Armada Pemuda PBB Negeri yang bakal dilancarkan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Tebingan Kuching pada Selasa ini (1 Mei).

Sidang media itu dipengerusikan oleh Ketua Pemuda PBB Zon Kuching yang juga Ahli Exco Pemuda PBB Negeri Wan Hamzah Wan Paie serta ketua-ketua Pemuda PBB ranting Zon Kuching.

Pada PRU12 lalu, beberapa muka baharu Pemuda dicalonkan seperti Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib (Parlimen Kota Samarahan) dan Hasbi Habibollah (Parlimen Limbang).

Ketua Pemuda PBB Negeri Datuk Fadillah Yusof merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Kami tetap berharap pada PRU13 ini ada muka-muka baharu daripada kalangan Pemuda PBB Negeri yang bakal dicalonkan,” katanya.