Pusat Kanser Sabah mesti siap Jun ini: Liow

0

LIOW (kiri) bersama rombongan kementerian, pegawai dan ahli lembaga pelawat Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas (HWKKL) serta wakil syarikat kontraktor ketika melawat Pusat Kanser Sabah, kelmarin. Turut kelihatan Pengarah HWKKL, Dr Tan Bee Hwai (kanan).

KOTA KINABALU: Pusat Kanser Sabah mesti siap Jun ini atau kontraktornya akan diganti, tegas Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai.

Katanya, beliau tidak teragak-agak menggunakan khidmat ‘kontraktor penyelamat’ bagi memastikan pusat itu dapat disiapkan lebih cepat jika kontraktor gagal menyiapkan projek terbabit seperti yang dijanjikan.

“Sebelum ini, mereka sudah beberapa kali memohon tempoh dilanjutkan tetapi kali ini kita tidak akan bertolak ansur lagi.

“Kalau tidak siap juga seperti yang mereka janjikan (Jun ini), kita akan tamatkan kontrak mereka.

“Tidak boleh lagi diberi (lanjutan) dan tidak boleh dimaafkan,” katanya yang mengakui marah dengan perkara itu.

Menelan belanja lebih RM200 juta, projek ini bermula pada Februari 2008 dan sepatutnya siap pada awal bulan ini.

Bagaimanapun, ketika ini hanya sekitar 80 peratus daripada bangunan yang bakal dikenali sebagai Pusat Perubatan Nuklear dan Radioterapi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas terbabit siap.

“Pusat ini adalah satu-satunya pusat rawatan yang akan dilengkapi peralatan terbaharu dan teknologi tinggi dalam perawatan kanser.

“Semua peralatan juga sebenarnya sudah ada dan sebaik sahaja projek ini siap, kerja-kerja pemasangan peralatan pula akan dilaksanakan dan memakan masa tiga bulan.

“Jika semuanya berjalan lancar, maka pusat ini akan dapat dimanfaatkan pada hujung tahun ini,” katanya.

Ditemui selepas lawatan rasmi ke tapak projek itu, Liow menegaskan, pusat itu amat penting untuk rakyat Sabah, terutamanya pesakit kanser di negeri ini.

Katanya, adanya pusat ini kelak akan memudahkan pesakit mendapatkan rawatan kerana tidak perlu lagi ke Sarawak atau Semenanjung.

“Tambahan pula, peralatan yang ada di Hospital Queen Elizabeth II ketika ini adalah versi lama…di sini adalah versi terbaharu.

Tambahnya, kementerian sentiasa bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kontraktor dengan sokongan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menyelia projek itu.

Katanya, langkah itu bagi memastikan projek ini dapat disiapkan secepat mungkin, seperti yang diharapkan semua pihak.

“Semua pakar kita sudah ada di sini (Sabah) dan peralatan juga sudah ada…jadi, tiada sebab projek ini harus lewat siap,” katanya yang sekali lagi menegaskan, kontraktor diberi tempoh sehingga Jun sahaja.