Kawasan Ampang, Kajang, Cheras dilanda banjir kilat

0

KUALA LUMPUR: Hujan lebat lebih daripada sejam melanda Lembah Klang menyebabkan tiga kawasan termasuk Ampang, Kajang dan Cheras dilanda banjir kilat dengan dua insiden pokok tumbang, semalam.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kajang berkata hujan lebat sejak jam 1 tengah hari di Kajang telah menyebabkan air naik mendadak kira-kira satu meter disebabkan longkang tersumbat, dan menjejaskan pekan itu seketika.

Dua jentera dari balai Kajang dengan lapan anggotanya membuat kerja pemantauan dan menyelamat mangsa banjir, katanya kepada Bernama di sini semalam.

“Namun keadaan banjir kilat semakin reda pada pukul 4 petang ini selepas air mulai surut berikutan hujan turun renyai-renyai,” katanya.

Pada Disember tahun lepas banjir kilat akibat hujan lebat telah menjejaskan pekan itu dengan pekedai dan orang awam mengalami kerugian apabila harta dan kenderaan mereka rosak ditenggelami air.

Sementara itu, laluan Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) ditutup sepenuhnya kepada trafik bagi pengaktifan sistem aliran banjir, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan di sini semalam.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan pula berkata banjir kilat turut melanda kawasan berhampiran Balai Polis Salak Selatan, Cheras pada jam 2 petang semalam, dengan air naik kira-kira 1.5 meter.

Katanya, memandangkan hujan masih lagi lebat dijangka air akan lambat surut.

“Kami telah menghantar dua jentera 14 anggota untuk memantau keadaan banjir di sana serta membuat tugasan menyelamat,” katanya. — Bernama