Pelbagai program tanam semangat kesukarelaan ahli PBB dianjur

0

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menganjurkan pelbagai program untuk menanam semangat kesukarelaan di kalangan ahlinya untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini.

Ketua Pergerakan Pemuda PBB Datuk Fadillah Yusof berkata, antaranya program-program di peringkat akar umbi di seluruh Sarawak termasuk program Armada Pemuda PBB yang bertujuan mengukuhkan lagi parti.

Selain itu program Armada juga kata Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri itu, bermatlamat merapatkan lagi hubungan antara pemimpin negeri dan ranting parti di segenap bahagian.

“Matlamat program untuk mengukuhkan jaringan perpaduan antara pemuda PBB Negeri serta melengkapkan Pemuda dengan maklumat terkini dalam mempertahankan parti.

“Melalui program ini, kita juga menyasarkan untuk mengumpul 1,000 pain darah sepanjang program dari Kuching hingga ke Lawas selain akan mengagihkan kerusi roda kepada golongan yang memerlukan serta menggunting rambut secara percuma di setiap perhentian,” katanya pada majlis pelancaran program Armada Pemuda PBB di Tebingan Kuching Selasa lalu.

Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, program yang bermula dari Kuching hingga ke Lawas itu melibatkan ahli Pergerakan Pemuda PBB di 10 cawangan di Zon Satu (Kuching).

Melalui program itu katanya ia juga sebagai persediaan kepada mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis beliau berkata, Pemuda PBB komited untuk menumpukan kepada perjuangan iaitu memberi khidmat terbaik bagi memartabatkan rakyat dari segi sosial dan ekonomi.

“Ia termasuk menjadikan negeri ini sebagai masyarakat berteknikal seperi mana yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri.

“Inilah perjuangan kami untuk meneruskan simbolik dan apa yang kami lakukan ini dan menanam apa yang dikatakan simbolik untuk diterjemahkan menjadi satu tindakan,” katanya.

Hadir sama memeriahkan program di Tebingan Kuching itu Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan Naib Presiden PBB Datuk Daud Abdul Rahman.