Pemanah kita sasar tiga emas

0

Lapan pemain Sarawak punyai peluang cerah pada pertandingan Terbuka UUM

EMAS DIBURU: (Barisan depan, tengah) Imang dan Chong bersama-sama memegang bendera negeri Sarawak di samping para pemain dan jurulatih yang lain, semalam.

MIRI: Lapan pemanah Sarawak berikrar untuk memperolehi sekurang-kurangnya tiga emas pada Pertandingan Memanah Terbuka Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kedah bermula hari ini.

Pasukan pemanah itu terdiri daripada Lau Jiun Sien, Lau Ngie Che, Sonia Ling Hui Meng, Kong Shen Fui dan Wong Cheng Teck, kesemuanya dari Miri, manakala tiga yang lain ialah Florence Lim serta Roniza Syafiqah dari Lawas dan Allan Rongga Limbang.

Jurulatih pasukan, Chong Yat Lee memberitahu pihaknya menaruh harapan yang tinggi bukan hanya kepada pemenang rekod emas SUKMA, Lau Jiun Sien tetapi kesemua pemain tersebut.

“Setiap seorang daripada mereka mempunyai peluang untuk menang memandangkan mereka adalah pemanah terbaik yang dipilih untuk kejohanan Sukma Ke-15 di Pahang.

“Justeru, kita menyasarkan sekurang-kurangnya tiga emas untuk dibawa pulang,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam, selepas menerima bendera negeri daripada Timbalan Residen Bahagian Miri, Imang Oyo Emang.

Turut hadir bersama pasukan Sarawak semalam ialah seorang lagi jurulatih memanah negeri, Ricky Yee, Setiausaha Persatuan Memanah Miri, David Ting dan beberapa pemain Sukma yang lain.

Seramai 330 pemanah daripada 33 buah pasukan di seluruh negara mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

Menurut Chong, selain perlawanan di Kedah yang berlangsung hari ini, Sarawak bakal menghantar 10 lagi pemanahnya ke pertandingan kategori ‘Recurve Bow’ di Pahang yang akan bermula pada 22 Mei ini.

“Selepas mengharungi kedua-dua perlawanan ini, kita akan panggil kesemua mereka yang telah dipilih untuk menjalani latihan insentif bagi menghadapi Sukma Ke-15 di Pahang dari 7 hingga 16 Julai depan,” katanya lagi.

Sukan memanah adalah salah satu daripada 24 acara yang dipertandingkan pada Sukma nanti dengan sebanyak 382 pingat emas akan dipertandingkan.

Sukan lain ialah renang, badminton, bola sepak, gimnastik, hoki, padang dan balapan, skuasy, boling, angkat berat, lumba basikal, karate, boling padang, menembak, layar, silat, sepak takraw, taekwondo, wushu, tinju, petanque, golf, equestrian dan bola tampar.