RTC hantar 16 peserta ke kejohanan taekwondo

0

SIBU: Kelab Taekwondo Rejang (RTC) menghantar sebuah pasukan yang terdiri daripada 16 peserta ke Kejohanan Taekwondo Senior dan Junior Peringkat Negeri yang dijadualkan berlangsung di Dewan Universiti Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan pada 5 dan 6 Mei ini.

Pasukan akan diketuai oleh pengurus pasukan, Albert Wong dan jurulatih Jong Ngie Chiong.

Ketua Pengajar RTC, Thomas Tang berkata, tujuan RTC menyertai kejohanan tersebut adalah untuk memperkukuh dan memantapkan pasukan taekwondo Sibu bagi menghadapi kejohanan-kejohanan akan datang.

Beliau berkata, ia juga akan menjadi satu lawatan pendedahan kepada 16 atlet kerana kebanyakan mereka masih lagi bersaing dalam beberapa siri kejohanan taekwondo utama.

“Kami menjangkakan kira-kira 200 atlet taekwondo dari semua 20 gabungan Pasukan Persatuan Taekwondo Sarawak (STA) mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan kelak,” katanya.

Menurut Tang, skuad bayangan taekwondo SUKMA turut menyertai beberapa siri kejohanan dalam pelbagai kategori.

“Dengan cara sedemikian, para atlet dapat menyesuaikan diri mengikut kategori masing-masing,” tambahnya.

Terdahulu, pasukan itu menerima tajaan daripada penaja utama, Hiong Tie Teck pada majlis penyerahan bendera yang diadakan di dewan baharu RTC di Jalan Wong King Huo.