Tiada istilah tandus pelapis

0

Wanita PBB akan terus galak wanita dalam bidang politik

KUCHING: Tiada istilah ketandusan pelapis dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) khususnya membabitkan ahli politik bagi pergerakan Wanita.

Timbalan Ketua Pergerakan Wanita PBB, Datuk Fatimah Abdullah berkata, penyertaan wanita dalam bidang politik diibaratkan sebagai satu proses kehidupan.

Golongan ini, katanya, boleh datang dari mana-mana latar belakang yang mana akhirnya mendorong wanita itu sendiri terlibat sepenuhnya dalam bidang politik untuk membantu masyarakat.

“Satu daripada cabaran kita dalam pergerakan Wanita PBB adalah untuk mendapatkan orang muda menyertai politik sebagai pelapis kepada pemimpin lama.

“Bagaimanapun, persepsi negatif terhadap penglibatan wanita dalam bidang politik menyebabkan mereka hilang minat terhadap bidang ini.

“Justeru, persepsi negatif ini perlu diperbetulkan untuk menggalakkan lebih wanita muda melibatkan diri dalam bidang politik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Tambah Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga ini, untuk menjadi ahli politik ia tidak hanya menuntut seseorang yang terlatih dalam bidang politik.

“Kami dalam pergerakan Wanita PBB, menggalakkan wanita untuk berkecimpung dalam apa jua bidang yang diminati sebagai landasan untuk mereka menjadi ahli politik yang serba boleh.

“Politik merangkumi semua bidang. Anda boleh datang dari permulaan yang berbeza yang mana akhirnya ia akan menjadi landasan kepada langkah seterusnya.

“Jika ada yang beranggapan pergerakan Wanita PBB tiada pelapis ia adalah satu tanggapan yang salah kerana ini adalah satu proses kehidupan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fatimah berkata, pergerakan Wanita PBB mempunyai strategi sendiri dalam usaha memancing undi dalam kalangan pengundi muda.

Katanya, berdasarkan kepada strategi yang telah diatur serta pengalaman wanita dalam membantu masyarakat beliau yakin tiga ahli Parlimen wanita PBB mampu mempertahankan kerusi yang disandang.

Tiga ahli Parlimen wanita PBB ialah Datuk Rohani Karim (P.201 Batang Lupar), Nancy Shukri (P.200 Batang Sadong) dan Datuk Norah Abdul Rahman (P.206 Tanjung Manis).