Bekas penjaga dipenjara enam tahun sebabkan kematian remaja autisme

0

SHAH ALAM: Dua tahun lepas, seorang bekas penjaga rumah kebajikan tergamak menampar, menumbuk dan membaling seorang remaja yang menghidap autisme ke lantai hanya kerana mangsa enggan makan sarapan pagi yang dibawanya.

Akibat perbuatan bekas penjaga itu, S. Tirupathi, 28, remaja malang berkenaan menemui ajalnya.

Tirupathi, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu ke atas Brian Goh Kah Heng, 19, semalam bernasib baik apabila terlepas daripada hukuman mati bagi kesalahan bunuh selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan kepadanya iaitu menyebabkan kematian mangsa di No: 38, Jalan 18/19, Taman Kanagapuram, Petaling Jaya dekat sini, antara jam 10.30 pagi dan 11.30 pagi pada 24 Okt 2010.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir dalam keputusannya menjatuhkan hukuman penjara enam dan memerintahkan Tirupathi menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 24 Okt 2010.

Pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, mayat mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kesan lebam di bahagian dada dan perut di rumah kebajikan itu.

Mangsa adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) yang cacat mental dan fizikal serta tidak berupaya untuk menguruskan dirinya.

Mangsa dihantar ke rumah kebajikan, yang mempunyai kira-kira 30 penghuni itu dengan bayaran RM500 setiap bulan, dan tertuduh merupakan penjaga di rumah kebajikan berkenaan dengan pendapatan RM900 sebulan.

Pada hari kejadian, tertuduh bertugas menyediakan sarapan pagi untuk Goh dan apabila mangsa menolak, tertuduh bertindak menampar, menumbuk dada mangsa dengan kuat serta membaling remaja malang itu ke atas lantai sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan ‘kejutan dan pendarahan teruk ekoran kecederaan limpa yang pecah’      Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhani Mohamad Adzhar sementara tertuduh diwakili peguam R.S. Seelan. — Bernama