Tuesday, August 9

Lori bertembung: Seorang maut, dua parah

0

SANDAKAN: Seorang maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah lori yang bertembung dalam kejadian di Batu 15, Jalan Labuk dekat sini pada lewat malam kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Supt. Fadzil Mohd Ali yang mengesahkan kejadian itu, berkata insiden berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam, apabila lori 6 tan yang dipandu dari arah Batu 16, Gum-gum menghala ke arah bandar Sandakan dipercayai telah hilang kawalan semasa tiba di tempat kejadian lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori 10 tan yang datang dari arah Sandakan.

Beliau berkata, akibat insiden itu, pemandu lori 6 tan, seorang lelaki berumur 40 tahun, telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori 10 tan dan seorang penumpang lori 6 tan masih dalam rawatan di Hospital Duchess of Kent di sini.

Menurutnya, kedua-dua lori berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Sehubungan itu, beliau meminta kepada orang ramai yang ingin memberikan maklumat atau saksi yang melihat kejadian itu, agar menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Wan Hazizie di talian 019-9178099 atau pejabat trafik di talian 089-2111222 (sambungan 254) untuk membantu siasatan.