Kumpulan Hevance ditabalkan juara Lagu Terbaik AJARR 2011

0

MENCIPTA REVOLUSI: Kumpulan Hevance merakam kenangan bersama Hanifah (dua kanan) dan Iskandar (tiga kanan) selepas ditabalkan sebagai juara Lagu Terbaik AJARR 2011, kelmarin.

SIBU: Kumpulan Hevance dengan lagu hits mereka ‘Aku Nemu’ telah ditabalkan sebagai juara Lagu Terbaik Anugerah Juara Rentak Ruai (AJARR) 2011 yang berlang­sung di Dewan Suarah Sibu, malam kelmarin.Persembahan bertenaga dan bersahaja daripada Hevance yang menampilkan ciri-ciri kemodenan serta revolusi dalam konsep muzik mereka menyebabkan juri-juri yang mengadili AJARR pada kali ini membuat pilihan yang sangat tepat untuk memilih mereka sebagai juara.

Kemenangan kumpulan yang berkonsepkan freestyle/rock moden itu memang sudah dijangkakan sejak dari awal lagi oleh para penggiat seni lagu Iban serta peminat indus­tri muzik Iban kerana konsep muzik mereka bersesuaian dengan tema AJARR pada kali ini iaitu ‘Revolusi Muzik Kemaya Hari’ atau Revolusi Muzik Terkini berbanding para finalis AJARR 2011 yang lain.

Dengan kejuaraan itu, Hev­ance telah menjadi band kedua menjuarai Lagu Terbaik AJARR selepas Masterpiece dinobatkan kemenangan yang sama pada AJARR 2010 di Kuching tahun lepas.

Dinobatkan selaku juara Lagu Terbaik AJARR 2011, Hevance membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi.

Dalam pada itu, kate­gori Lagu Popular AJARR 2011 (menerusi undi SMS), Melissa Francis menerusi lagunya ‘Mutus Ati’ dipilih sebagai juara kategori itu apabila memperolehi undi terbanyak yang melebihi 21,000 undi daripada para peminatnya.

Sebaik diumumkan oleh pengacara pentas AJARR 2011, deejay Freddy dan deejay Ijau, nama Melissa sebagai johan kategori itu, suasana di dalam dewan ber­tukar menjadi gamat dengan sorakan riuh rendah suara para peminat Melissa yang sejak dari awal lagi tidak pu­tus-putus memberi sokongan kepadanya.

Melissa membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi.

Naib johan pula disandang oleh penyanyi yang popular dengan lagu ‘Buya Bepan­gan’, Lucy M yang telah di­jangkakan dari awal lagi oleh ramai peminat serta pemerhati industri muzik Iban akan me­menangi kategori itu kerana mempunyai ramai peminat tersendiri.

Hadiah wang tunai RM2,000 berserta trofi telah diterima oleh Lucy yang memenangi tempat kedua kategori terse­but.

Tempat ketiga dimenangi oleh lagu ‘Engkerecam Cuka’ daripada Rickie Andrewson yang turut menjadi perhatian ramai peminat serta diberi sor­akan oleh para peminat apabila berlaku sedikit ‘babak’ semasa majlis penyampaian hadiah, antaranya bersama bekas is­terinya, Melissa Francis.

Rickie menerima hadiah wang tunai RM1,500 berserta trofi.

Vokal terbaik AJARR 2011 jatuh kepada Melissa Francis sekali lagi apabila vokalnya berjaya memukau lima orang juri AJARR yang dilantik pada kali ini iaitu Iskandar Bujang (ketua juri), Jerry Kamit, Jackson Dana, Jimmy Adit dan Nai Dinamik.

Selaku juara vokal AJARR 2011, Melissa memenangi hadiah wang tunai RM2,000 berserta trofi.

Sebuah lagi band yang berkonsepkan imej ‘anti-es­tablishment’, Ethnic Trans­mission (ET), dipilih sebagai pemenang persembahan ter­baik AJARR 2011 apabila penampilan mereka yang menggunakan ‘khidmat’ vokalis kedua kumpulan Masterpiece, Kent, yang mengejutkan ramai pihak sehingga menimbulkan pel­bagai spekulasi oleh para peminat.

Ketiadaan vokalis utama ET, Macmillan Jua Lungan pada AJARR kali ini turut menimbulkan tanda tanya ramai peminat mereka sehingga ramai spekulasi di luar dewan mengatakan kumpulan ET kini bakal berpecah serta akan menggunakan nama baharu untuk menggantikan nama ET.

ET menerima hadiah wang tunai RM2,000 berserta trofi selaku pemenang persembahan terbaik AJARR 2011.

Selain diadakan kategori-kategori AJARR 2011 untuk menjadi rebutan seramai 12 finalis pada kali ini, anugerah-anugerah khas AJARR 2011 turut diberikan kepada mereka yang banyak menyumbang jasa dalam industri muzik Iban.

Persembahan video untuk mendiang Jeffrey Nyaloi yang merupakan seorang komposer yang memiliki nama besar dalam industri muzik Iban turut dipersembahkan kepada hadirin sebagai ‘Jeffrey Nyaloi Dalam Kenangan’ dan para hadirin turut bertafakur selama seminit bagi menghormati, memperingati serta berdoa untuk mendiang yang telah meninggal dunia pada April tahun lepas akibat serang angin ahmar.

Mereka yang dipilih untuk memenangi anugerah-anugerah khas AJARR 2011 ialah Alon Lupeng, yang memenangi Anugerah Penyanyi Bukan Iban dan Anugerah Khas juri AJARR diberikan kepada Jackson Dana yang merupakan komposer industri muzik Iban yang cukup berpengalaman.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Kristal Harta Sdn Bhd (Cats FM) Datin Hanifah Taib Alsree sambil diiringi oleh Pengurus Besar Cats FM Mohd Iskandar Mohd Nawawi.

Sebanyak 12 lagu Iban popular telah bersaing pada malam AJARR 2011 yang julung kalinya diadakan dari luar bahagian Kuching iaitu di Dewan Suarah Sibu.

Lagu-lagu finalis AJARR 2011 ialah ‘Mengkang Dikenang Dalam Ati’ (Rolisawati), ‘Dara Jala Pisit’ (Wendy), ‘Engkerecam Cuka’ (Rickie Andrewson), ‘Buya Bepangan’ (Lucy M), ‘Pulai Pengunjung’ (Ethnic Transmission), ‘Rachun Dalam Pengerindu’ (Inochi Austin), ‘Aku Nemu’ (Hevance), ‘Merindang Ati Ti Balat Sunyi’ (Betty), ‘Mutus Ati’ (Melissa Francis), ‘Nadai Andau Duri Melintang’ (James Jacob), ‘Panjai Begulai’ (Clemence Joy’s) dan ‘Bekayuh Langkan’ (Jennorino Jeraki).

AJARR 2011 adalah anjuran Cats FM manakala Utusan Borneo dan Borneo Post adalah media rasminya.