40 penduduk di Sri Aman sertai kempen menderma darah

0

SRI AMAN: Seramai 40 penduduk di Sri Aman menyertai Kempen Menderma Darah 2012 anjuran Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman di pekarangan Perpustakaan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dekat sini Sabtu lalu.

Jurucakap pertubuhan berkenaan, Steven Tay memberitahu Utusan Borneo bahawa kempen yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga jam 12 tengah hari itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat di sini.

Menurutnya, masyarakat di sini telah menyedari bahawa darah yang mereka dermakan itu dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Hasil daripada kempen yang kami adakan ini, kami berjaya menarik lebih 40 orang penderma menyertai program yang kami anjurkan kali ini,” jelasnya.

Katanya, program berkenaan turut bertujuan membantu mengisi Tabung Darah Hospital Sri Aman di samping sebagai salah satu aktiviti bulanan pertubuhan ini.

“Selain itu, program yang dianjurkan ini adalah sempena perayaanHari Gawai yang bakal disambut oleh masyarakat Dayak pada 1 Jun depan,” jelasnya.

Tambahnya, penderma yang menyertai program ini turut mendapat hadiah sagu hati berupa sekampit beras, baju T-Shirt dan minuman Malta.

Turut hadir menyaksikan program berkenaan, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis, Temenggung Sii Toh Peng serta ahli-ahli pertubuhan yang lain.