Iban diingatkan agar tidak terpengaruh dengan RFS

4

MIRI: Meskipun beberapa kawasan sudah menerima Radio Free Sarawak (RFS), kerajaan terus mengingatkan rakyat terutama kaum Iban supaya tidak terpengaruh dengan siaran terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bekenu Rosey Yunus tidak menafikan bahawa pembangkang sentiasa berusaha menewaskan kerajaan dengan memperkenalkan RFS untuk menghasut rakyat.

“Sudah terang lagi bersuluh, RFS hanya satu medium pembangkang untuk meraih sokongan dan mereka memanipulasi kaum Iban dengan menjadikan bahasa Iban sebagai pengantara utama,” katanya ketika dihubungi di Kuching semalam.

Menurutnya pembangkang pada mulanya meletakkan calon Iban untuk bertanding di kerusi Parlimen Sibuti seterusnya menjadikan bahasa Iban sebagai pengantara utama RFS.

“Ia sudah jelas bahawa mereka cuba memanipulasi kaum Iban dengan hasrat untuk meraih undi majoriti kaum Iban di Sarawak dengan hasrat untuk menang pilihan raya,” ujarnya.

Menurutnya, radio itu mampu meracuni dan merosakkan pemikiran waras pendengar supaya membenci kerajaan dengan menghebahkan isu-isu sensitif yang boleh menimbulkan kemarahan rakyat.

Penyebaran luas radio terbabit khususnya di kawasan rumah-rumah panjang dan kampung merupakan satu strategi pembangkang untuk mendapat sokongan penduduk setempat.

Rosey yang juga Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga menyarankan agar masyarakat Iban menilai antara fakta dan dakyah palsu dalam RFS.

“Kita bimbang RFS menjadi satu alat untuk menanam unsur-unsur kebencian terhadap kerajaan kerana siaran itu hanya membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan,” katanya.

Menurutnya, hanya kerajaan Barisan Nasional sahaja yang mampu menyediakan semua keperluan rakyat tidak mengira masa berbanding pembangkang yang hanya datang pada musim pilihan raya.

“Kita sudah biasa dengan taktik mereka kerana pembangkang hanya prihatin dengan kebajikan rakyat pada musim pilihan raya, selepas selesai pilihan raya, mereka hilang entah ke mana,” tegasnya.

Rosey berkata sokongan kukuh rakyat terhadap BN mampu melonjakkan kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik dan rakyat tidak harus menggadaikan masa depan dengan memberi mandat kepada pembangkang.