Sunday, January 19

DUN kecoh, Jabu, Ho Leng bertikam lidah

0

KUCHING: Persidangan Dewan  Undangan Negeri (DUN) pada sesi sebelah pagi semalam kecoh seketika apabila Pengerusi DAP Negeri Wong Ho Leng bertikam lidah dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Ketegangan bermula apabila Jabu mendakwa pembangkang sering ‘menekan dan menindas’ peluang penduduk luar bandar khususnya pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) terlibat dalam program pembasmian kemiskinan yang dirangka kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Dr Abdul Rahman Junaidi (BN-Pantai Damai) berhubung perkembangan program e-Kasih di negeri ini.

“Saya mahu mengingatkan DAP yang terus ‘menekan dan menindas’ peluang-peluang pembasmian kemiskinan. Buang idea anda yang mementingkan diri sendiri itu,” ujarnya.

Kenyataannya itu menye-babkan Wong bangkit membantah, menyebabkan kedua-duanya bertikam lidah sehingga Jabu mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Asek itu berhenti bercakap.

“Kamu diam!… diam!… diam! kamu (Bukit Asek) duduk… kamu adalah anti (pembangunan), kamu tidak bersimpati dengan nasib orang Sarawak ,” ujarnya.

Keadaan tegang berlarutan hampir 10 minit menyebabkan Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar mencelah dan mengatakan beliau akan menangguhkan persidangan jika keadaan berlarutan.