Friday, May 24

Kahwin campur sering cetus masalah status Bumiputera

0

KUCHING: Perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat Sarawak khasnya menimbulkan masalah kepada anak yang dilahirkan tanpa status Bumiputera.

Perkara itu disuarakan ADUN Meluan Wong Judat dalam perbahasan usul terima kasih terhadap ucapan Yang di-Pertua Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Beliau memberitahu timbul masalah bagi golongan wanita bangsa lain yang mengahwini lelaki berbangsa lain seperti Cina.

“Ini kerana anak yang dilahirkan nanti tidak berstatus Bumiputera dan keadaan ini berlaku di kawasan saya (Meluan).

“Hal ini tidak hanya berlaku kepada anak mereka tetapi terbawa kepada cucu dan cicit mereka yang lelaki walaupun anak lelaki mereka berkahwin dengan wanita Bumiputera,” jelasnya.

Wong memberitahu ba-nyak permohonan untuk status Bumiputera bagi anak hasil kahwin campur tetapi sehingga sekarang permohonan itu tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

“Syarat yang dikenakan untuk memohon status Bumi-putera adalah terlalu sukar yang menimbulkan masalah bagi mereka memperolehi kemudahan yang menjadi milik seorang yang berstatus Bumiputera.

“Di samping itu, anak-anak mereka yang masih bersekolah sukar untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan kerana status mereka akan dipersoalkan,” tegasnya lagi.

Justeru, beliau menggesa agar syarat permohonan status Bumiputera bagi mereka yang berkahwin campur dapat dilonggarkan.