Kerajaan lulus Ladang Sejahtera di Semop

0

Projek di kawasan seluas 11,651 hektar dan melibatkan sejumlah 2,000 peserta: Jabu

KUCHING: Kerajaan negeri telah meluluskan Ladang Sejahtera di bawah Projek Lonjakan Mega Agropolitan untuk penanaman kelapa sawit secara komersial di konstituensi Semop.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata, projek ladang berkenaan adalah seluas 11,651 hektar dan akan melibatkan sejumlah 2,000 peserta dari kawasan berhampiran.

“Projek ini akan dibangun-kan oleh pihak FELCRA dan syarikat swasta dan ia akan meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup penduduk di kawasan tersebut di samping menyediakan bebe-rapa kemudahan infrastruktur,” katanya berucap pada sesi soal jawab persidangan DUN di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Abdullah Saidol (BN-Semop) menge-nai pelaksanaan RGC dan adakah ia ditukar kepada RTC yang dilaksanakan oleh KKLW.

Jabu berkata buat masa ini, kerajaan belum ada cadangan untuk menukar Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Semop sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Katanya, ia tertakluk kepada beberapa kriteria untuk dipertimbangkan terma-suk perbincangan dengan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan kedudukan kewangan kerajaan.

“Pada masa ini kerajaan belum bercadang menukar RGC Semop sebagai RTC kerana ia tertakluk kepada beberapa kriteria terma-suk perbincangan dengan KKLW serta kewangan,” tegas beliau.

Beliau turut memberitahu, pemilihan RGC Semop yang sedia ada kini adalah berlandaskan kepada beberapa kriteria utama, antaranya ia terletak di kawasan luar bandar di Pulau Bruit yang mundur dan sukar dihubungi.

Pulau Bruit mempunyai sumber-sumber tempatan yang berpotensi untuk dimajukan bagi mengatasi masalah kemiskinan, pengangguran dan penghijrahan tidak terkawal ke kawasan bandar, ujarnya.

“Bagi Semop pelbagai projek telah dirancang dan dilaksanakan di RGC tersebut. Ia termasuk penyediaan tapak, penambakan pasir dan penyediaan jalan di pusat perkhidmatan pada Rancangan Malaysia Kelapan (tahun 2001 hingga 2005), pembinaan SK Semop pada RMK9 (2006 hingga 2010) dan pembinaan SMK Semop pada RMK10 (2011 hingga 2015),” kata beliau.

Sementara itu, menjawab kepada pertanyaan Ali Biju (PKR-Krian), Jabu yang juga Menteri Pemodenan Pertanian berkata, mengikut amalan Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) borang subsidi penanaman kelapa sawit kepada pekebun kecil dirujuk kepada wakil rakyat setempat tidak mengira daripada parti kerajaan atau pembangkang.

Ali bertanya kepada beliau berhubung borang subsidi MPOB menanam kelapa sawit untuk pekebun kecil memerlukan tandatangan atau sokongan daripada wakil rakyat dan adakah MPOB melayan tandatangan wakil rakyat pembangkang.

Jabu berkata, kerajaan merujuk borang permohonan subsidi Skim Tanam Baharu Kelapa Sawit Pekebun Kecil (TBSPK) kepada wakil rakyat iaitu ADUN atau Ahli Parlimen, adalah bertujuan untuk memaklumkan kepada wakil rakyat mengenai projek bantuan yang dirancang dan dilaksanakan dalam kawasan mereka.

“Sehingga April 2012, sebanyak 7,803 permohonan dengan keluasan 15,916 hektar telah diluluskan di seluruh Malaysia.

“Daripada jumlah tersebut, 5,123 atau 66 peratus permohonan dengan keluasan 8,434 hektar atau 53 peratus adalah dari Sarawak,” katanya.