Samariang perlu lebih banyak balai polis

0

KUCHING: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang memerlukan lebih banyak balai polis meman-dangkan peningkatan jumlah penduduk di kawasan itu amat tinggi iaitu kira-kira 300,000 orang.

ADUN-nya, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, penambahan balai polis di Samariang akan bertindak sebagai sokongan kepada balai polis sedia ada iaitu Balai Polis Gita.

Menurutnya, Balai Polis Gita hanya mempunyai kekuatan 56 anggota sedangkan mereka perlu menjaga kawasan yang luas iaitu 369.48 kilometer persegi.

“Dengan peningkatan populasi di Petra Jaya, sudah tentu jumlah anggota penguatkuasaan yang lebih ramai diperlukan untuk menjaga seterusnya mengurangkan kadar jenayah di Petra Jaya, khususnya di Samariang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan perasmian Yang di-Pertua Negeri, pada persidangan DUN, kelmarin.

Dalam ucapannya Sharifah Hasidah turut mahu kerajaan negeri mempertimbangkan usaha membina kolam renang di kawasan Samariang atau Petra Jaya bagi menampung keperluan belia serta orang ramai amnya di kawasan-kawasan berkenaan.

“Saya amat berharap permintaan ini akan ditunaikan kerana ia sangat penting pada pandangan saya, untuk melahirkan komuniti lebih-lebih belia yang sihat, cergas dan bebas daripada penglibatan masalah sosial lain,” ujarnya.

Menyentuh mengenai kemudahan prasarana di kawasannya, beliau berkata walaupun projek tebatan banjir di Kampung Semerah Padi telah siap, projek sama masih perlu dilaksanakan di kawasan kerap banjir lain di Samariang.

“Terima kasih kepada pucuk kepimpinan negeri Sarawak kerana pelaksanaan projek pembangunan yang berterusan di N.7 Samariang dan pada masa sama menge-kalkan ia sebagai kawasan hijau dan aman,” katanya.