Hapuskan mentaliti ingin keuntungan cepat

0

KUCHING: Mentaliti ingin menda-patkan keuntungan cepat perlu dihapuskan, sebaliknya pemilik tanah perlu memikirkan cara baharu untuk mendapat faedah daripada pemilikan tanah mereka secara optimum dalam jangka panjang.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg memberitahu, perubahan minda itu pen-ting memandangkan bandar raya ini akan mengalami transformasi besar menerusi ‘pembaharuan bandar’ yang dirancang oleh kerajaan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Perancangan itu, katanya, akan melibatkan kawasan Tebingan Sungai Sarawak yang kebanyakannya terdiri daripada kampung-kampung Melayu.

“Pembangunan sebegini boleh meningkatkan lagi nilai hartanah di kawasan terlibat ekoran daripada faktor mudah dihubungi kepada kemudahan-kemudahan perniagaan dan kemudahan awam, sekali gus membuka peluang untuk meningkatkan taraf hidup melalui pelbagai peluang yang diwujudkan.

“Justeru, penduduk kampung khasnya generasi lebih tua yang kurang pengetahuan dalam fungsi tanah tidak harus mendapatkan keuntungan cepat kerana ia akan merugikan generasi akan datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pemba-ngunan Hartanah Bumiputera di Bandar Raya Kuching di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan memberitahu, kalau diikutkan pemikiran lama, khasnya dalam kalangan generasi lebih tua di kampung, tanah dilihat sebagai se-kadar tanah tanpa mengetahui cara menterjermahkan aset itu kepada yang mempunyai nilai tambah.

“Kita dapat lihat banyak tanah asal milik Bumiputera di kawasan-kawasan strategik di pusat bandar raya dijual dan dimajukan kepada pusat komersial dan sebagainya yang mendapat keuntungan berjuta-juta ringgit,” katanya.

Oleh itu, katanya, satu model ‘menang-menang’ perlu difikirkan bagi menggantikan pemikiran konvensional di mana pemilik tanah menjual tanah untuk wang semata-mata.

Menurutnya, oleh sebab model ‘menang-menang’ setakat memberi pulangan jangka pendek, maka pemilik tanah perlu memikirkan formula usaha sama atau perkongsian keuntungan dengan pemaju.

Dalam pada itu, beliau mencadang sebuah Dana Amanah ditubuhkan bagi memelihara kepentingan ekonomi Bumiputera.

Menurutnya, badan amanah yang bakal diuruskan secara profesional oleh pasukan pengurus berpengalaman itu akan berfungsi sebagai wahana untuk membeli balik ekuiti dalam syarikat hartanah sekiranya ia hendak dijual kepada syarikat yang membeli saham dalam pasaran sekunder.

“Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat melindungi kepentingan ekonomi Bumiputera agar tidak terlepas ke tangan orang lain, malah dapat membina sebuah institusi amanah bercorak ekonomi yang boleh berkembang ke tahap lebih besar,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambahnya, untuk merealisasikan cadangan ini, para usahawan, pemaju tanah dan pelabur Bumiputera perlu mengumpul dana dan memperolehi sumber kewangan cukup.

“Saya berharap peserta seminar dapat memperhalusi cadangan itu dan memikirkan langkah-langkah untuk mengumpul dana bagi badan amanah itu dan mekanisme terbaik melaksanakannya,” katanya.