Cedera dibelasah sekumpulan lelaki

0

MANGSA (baju merah) yang cedera dibelasah dalam kejadian itu, diperiksa oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera setelah dibelasah sekumpulan lelaki lain, dalam kejadian berdekatan sebuah premis hiburan di Jalan Gaya, awal pagi kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi. Mangsa dikatakan dibelasah sebelum ketibaan polis yang secara kebetulan melakukan rondaan di lokasi berkenaan.

Sekumpulan lelaki yang dipercayai memukul mangsa kemudian bertindak melarikan diri setelah polis tiba di situ.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Polis kini sedang giat memburu suspek yang terlibat dalam kejadian ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta supaya tampil membantu siasatan,” katanya, sambil menjelaskan mangsa kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE).