Wednesday, March 22

32 pasukan futsal rebut Piala Sarawak

0

KUCHING: Sebanyak 32 pasukan dari seluruh negeri berentap bagi merebut kejuaraan futsal Piala Sarawak 2012 edisi ke-2 yang membuka tirainya di sini semalam (Jumaat).

Pertandingan disertai 32 pasukan termasuk 13 pasukan wanita. Perlawanan kategori lelaki dilangsungkan di Stadium Tertutup manakala kategori wanita di Sport Planet.

Dalam saingan kumpulan A kategori lelaki, wakil dari Sibu Nazario seri 1-1 dengan Matrixx Utd manakala PDRM tumpas di tangan ABS Club 1-2. PDRM kemudiannya membelasah Nazario 6-0 pada perlawanan kedua mereka.

Bernas menang selesa ke atas pasukan baru, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 dalam saingan kumpulan B, sementara wakil dari Miri, FBSB FC menang tipis 1-0 ke atas Futsal Unimas yang mewakili Kota Samarahan.

Pada perlawanan kedua, FBSB FC sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan wakil Bintulu. TSP FT.

Dalam saingan kumpulan C, dua wakil dari Kuching, War’s 15 dan Velocity masing-masing menundukkan lawan mereka pada perlawanan pertama. Wars’s 15 mudah menumpaskan wakil Sibu, TZ dengan 3-0 manakala Sri Aman tunduk kepada Velocity 0-1. Terdahulu, Sri Aman turut tumpas di tangan Sadong FC juga dengan 0-1.

Sementara itu, wakil dari Miri, Awg Mahyan Utd menang selesa ke atas Best Mixer FC dengan 2-0 dalam cabaran kumpulan D sementara Twister yang mewakili Mukah hanya sekadar seri 1-1 dengan 5IVE FC.

Dalam kategori wanita kumpulan A, Sixteen 5 FC menundukkan Amor FC 3-2 manakala Melda FC seri 1-1 dengan FBSB FC. Pada perlawanan kedua, Sixteen 5 FC tumpas 0-3 di tangan Sony Aina FC. Wakil Miri, FBSB FC kemudiannya mencatat jaringan besar bagi menundukkan Sony Aina FC 5-0.

Dalam kumpulan B, juara bertahan Bankers Betong berpeluang untuk mara ke peringkat suku akhir setelah mencatatkan dua kemenangan. Mereka menewaskan Batu Kawa Selection 1-0 dan TSP. FT juga dengan 1-0. Pada perlawanan sebelumnya, Batu Kawa Selection menumpaskan PDRM 1-0.

Saingan kumpulan C pula menyaksikan Sri Aman tunduk 0-2 di tangan D’syco manakala Bandarayaku mencatat kemenangan selesa 5-0 ke atas Azani FC.

Saingan suku akhir akan diadakan di Stadium Tertutup pada hari ini (Sabtu).