Monday, January 30

Piala Sarawak: Sibu bersiap awal

0

SIBU: Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA) membuat persediaan awal bagi menghadapi cabaran Piala Sarawak 2012 yang dijadualkan berlangsung di Miri pada bulan September depan.

“Kita mahu lebih bersedia kali ini dan apabila kejohanan tiba, kita telah bersedia menghadapi sebarang saingan sengit daripada pasukan lawan,” ujar Setiausaha SFA, Abdul Hajis Abdullah, kelmarin.

Menurut beliau, SFA akan memilih pemain-pemain bagi mewakili bahagian Sibu dari pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Sibu-Naim 2012, yang sedang rancak berlangsung di Stadium Tun Zaidi ketika ini.

“Pemain-pemain yang berpotensi akan disenarai pendek dan akan dipanggil bagi menjalani latihan selepas sambutan Gawai nanti,” jelas Abdul Hajis sambil menambah pemain akan dilatih oleh jurulatih yang berpengalaman.

Beliau juga berharap pemain-pemain yang dipilih akan berusaha untuk tampil ke hadapan bagi menjalani latihan dari segi mental dan fizikal.

“Diharap pemain yang dipilih tidak memberikan sebarang alasan untuk mengelak daripada menjalani latihan kerana semua itu hanya akan menjejaskan sukan bola sepak di sini,” katanya.

Abdul Hajis turut memberitahu, keutamaan pemilihan pemain adalah di kalangan pemain tempatan, sejajar dengan garis panduan Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS) yang mahu keutamaan diberikan kepada pemain tempatan, tanpa menggunakan pemain dari bahagian-bahagian lain.

“Kita menyambut baik keutamaan diberikan kepada pemain tempatan kerana jika menggunakan pemain dari bahagian-bahagian lain, ini hanya akan menimbulkan masalah yang tidak perlu.

“Diharap bahagian-bahagian lain juga menyedari perkara ini dan tidak memancing pemain-pemain di bahagian ini untuk bermain untuk mereka,” ujarnya.

Menurut Abdul Hajis, beliau telah mengesan beberapa pemain muda yang berbakat Liga Sibu-Naim 2012.

Katanya, pemain-pemain muda tersebut memiliki masa depan yang cerah dan memerlukan bimbingan yang betul agar boleh mewakili negeri dan negara suatu hari nanti.