Kongres Saintifik Antarabangsa Ke-10 RCOG 2012 bermula esok

0

KUCHING: Kepulauan Borneo (Sarawak) menjadi pilihan Kongres Saintifik Antarabangsa Ke-10 Royal College of Obstetricians and Gynecologists (RCOG) 2012 bermula 6 sehingga 8 Jun ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Menurut pengerusi penganjur Dr Gunasegaran Rajan, bidaan sengit berlaku antara Australia, Hong Kong,Singapura dan Malaysia untuk menjadi tuan rumah kongres tahunan itu.

“Kami menggunakan Borneo (Sarawak) sebagai poin pasaran yang mana golongan wanitanya kurang kesedaran mengenai penyakit berkaitan wanita,” katanya.

Setakat ini, kongres berjaya menarik lebih kurang 2,000 delegasi dengan 450 daripadanya merupakan delegasi tempatan dan selebihnya delegasi antarabangsa.

Pihaknya, menjangkakan pulangan sebanyak RM20 juta kepada ekonomi negeri selepas mengambil kira perbelanjaan para delegasi.

Tambahnya pada 5 Jun pihaknya akan mengadakan prakongres dengan menjalankan program berkaitan kanser, kesuburan, risiko kehamilan dan keselamatan pesakit untuk orang ramai.

Bengkel untuk jururawat dijalankan selain 50 ruang pameran disediakan untuk dilawati pengunjung.

Kongres terbabit akan dirasmikan oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 6 Jun sekitar jam 5 petang.

“Kami turut mengadakan malam gala untuk tujuan kutipan derma sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada pertubuhan bukan kerajaan Women for Women, Taman Hidupan Liar Semenggok dan penanaman 100 anak pokok di Jabatan Perhutanan Sarawak,” katanya kepada pemberita semalam.

BCCK turut menyediakan kemudahan berganda WiFi dan jalur lebar agar segala maklumat dapat diakses dengan senang melalui iPad dan telefon pintar delegasi.

Kongres akan bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan sebarang pertanyaan boleh dilayari di laman www.rcog2012.gmail.com.