Polis mohon bantuan jejaki perogol gadis bawah umur

0

IBRAHIM

SIBU: Polis Daerah Daro dekat sini meminta kerjasama orang ramai untuk menjejaki seorang lelaki berhubung kes rogol melibatkan seorang gadis bawah umur di sebuah kampung di daerah Matu pada hujung Mei lalu.

Lelaki terbabit dikenali sebagai Ibrahim Bujang, 31, kad pengenalan bernombor 810112-12-6071, berbangsa Melanau, bekerja sendiri dengan alamat terakhir di Kampung Tian, Matu.

Ibu kepada mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Daro, mengadu anak gadisnya berusia 15 tahun yang masih menuntut di Tingkatan Tiga telah dirogol oleh suspek pada 23 Mei 2012, kira-kira jam 7.15 malam di sebuah semak berdekatan skim perumahan di sebuah kampung di Matu.

Menurut laporan awal, ini merupakan kali kedua suspek melakukan jenayah terkutuk itu.

Sebelum ini dia telah melakukan perbuatan sama terhadap seorang gadis lain juga di kawasan sebuah semak di Sungai Merah, Sibu.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sesiapa yang mengenali lelaki terbabit bolehlah menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Chee Teik Yeam di Balai Polis Daro atau menghubungi talian 084-823222 sambungan 207 atau 019-8857007 atau Inspektor Nasaruddin Ismail di IPD Daro (014-5785761).

Sementara itu, polis sedang mencari seorang lelaki bernama Jimmy Bakil (MyKad: 801217-13-5863) yang bersabit kes yang tidak ditentukan.

Alamat terakhir Jimmy adalah di Tanjung Nanga Engkaroh di daerah Song.

Perbicaraan yang berikutnya atas kes itu adalah pada 21 Jun jam 9 pagi.

Mereka yang mempunyai maklumat tentang Jimmy boleh menghubungi Sarjan Abdul Hamid Jamal di talian 084-211221 atau 013-8148255 atau balai polis berdekatan.