Sembilan lelaki ditahan ketika serbuan aktiviti sabung ayam

0

DITAHAN: Sarjan William (tiga kanan) membantu tahanan daripada serbuan aktiviti sabung ayam, keluar dari trak polis.

SIBU: Polis menahan sembilan lelaki sementara kira-kira 100 orang lagi berjaya meloloskan diri ke dalam hutan dalam serbuan ke atas aktiviti sabung ayam haram berhampiran Bukit Aup dekat sini, semalam.

Polis melancarkan serbuan itu sejurus menerima maklumat pada jam 3.30 petang.

Selain menahan sembilan lelaki berusia di antara 30 hingga 70 tahun, polis juga merampas empat ayam jantan dan seekor ayam yang sudah mati.

Mereka juga merampas sebuah mesin penimbang dan sebuah kalkulator di tapak aktiviti melaga ayam itu.

Sementara itu, seorang pekerja kafe siber membuat laporan polis selepas majikannya menuduhnya mencuri dan mengugutnya.

Kejadian itu berlaku apabila cakera keras mudah alih (external hard disk) yang diletakkan di sebuah meja di kafe siber hilang pada Khamis lepas.

Kemudian majikannya terus menuduh pekerja berusia 28 tahun itu mencuri gajet tersebut dan menuntut dia membayar ganti rugi RM350.

Majikannya juga menuduhnya menawarkan tiga pelanggan menggunakan komputer secara percuma dan mengarahkannya membayar RM500 lagi untuk kerugian itu.

Keengganannya membayar wang tersebut telah menyebabkan majikan tersebut mengambil wang sebanyak lebih daripada RM100 tunai dari dompetnya  termasuk sebuah telefon bimbit yang dianggarkan benilai kira-kira RM400.

Kemudian majikannya bertindak meninggalkan nota bertulis kata-kata amaran kepada pekerja itu, mengarahkannya membayar ganti rugi yang selebihnya.

Pekerja tersebut hanya membuat laporan polis selepas majikannya bertindak mengancamnya.