DCF perluas kegiatan dalam pendidikan

0

TEMU BUAL: Jabu (tengah) ketika ditemu bual oleh wartawan semalam memberitahu kerajaan negeri telah memperuntukkan kawasan seluas empat ekar berdekatan dengan kampus lama UNIMAS di Kota Samarahan untuk pembinaan ibu pejabat DCF.

Pembinaan ibu pejabat akan memastikan Dayak terus menjadi aset baik kepada S’wak

KUCHING: Ibu pejabat Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) akan memperluaskan kegiatannya tidak tertumpu kepada bidang kebudayaan sahaja tetapi juga dalam sektor pendidikan.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, DCF akan memberi insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang sebagai pembakar semangat pelajar lain untuk berjaya memandangkan peningkatan jumlah pelajar cemerlang merupakan aset baik kepada Sarawak demi pembangunan sumber manusianya.

“Apabila ibu pejabat DCF ini terbina nanti, kita akan memperluaskan kegiatan DCF yang sekarang bergiat aktif dari segi kebudayaan kepada bidang lebih besar, lebih-lebih lagi dalam memberi perancangan kepada pelajar-pelajar Dayak yang semakin ramai mendapat semua A.

“Kita percaya menerusi DCF, pendidikan dapat dijadikan sebagai satu budaya di mana ibu bapa akan memberi keutamaan kepada perkara tersebut memandangkan kita di Malaysia masih kekurangan sumber tenaga untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat dari jawatankuasa Sukan Malaysia XV Pahang 2012 di pejabatnya di Wisma Bapa di sini, semalam.

Jabu yang juga Pengerusi Pengasas DCF memberitahu, kerajaan negeri telah memperuntukkan kawasan seluas empat ekar berdekatan dengan kampus lama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan.

Katanya, lokasi itu amat bersesuaian memandangkan kawasan itu merupakan presint pendidikan dengan pelbagai institut pengajian tinggi berdekatan.

Beliau memberitahu, rekaan bangunan tersebut akan meng-ambil kira semua etnik yang ada di Sarawak seperti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Ketika ditanya bila projek itu boleh mula dilaksanakan, beliau memberitahu, ia tidak akan dilakukan dalam masa terdekat memandangkan pel-bagai faktor perlu dibincangkan terlebih dahulu oleh 16 lembaga pengarah DCF lain khasnya dari segi kos siling dan dana.

Sambil melahirkan penghargaan atas peruntukan sebanyak RM5 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jabu memberitahu ia merupakan permulaan yang baik dan mereka akan berusaha gigih untuk mengumpul dana.

“Dengan peruntukan awal sebanyak RM5 juta daripada kerajaan pusat dan kawasan tanah seluas empat ekar dari kerajaan negeri, saya diyakin-kan bahawa kerajaan pusat dan kerajaan negeri bersedia membantu dalam apa sahaja cara.

“Ia mungkin tidak akan dijalankan secara sekali gus tetapi secara berperingkat, dan kita bersedia untuk itu,” katanya.