Saturday, October 23

MB Kedah nafi gagal kawal rumah urut, pusat hiburan

0

CHANGLUN: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam menafikan kerajaan negeri gagal mengawal aktiviti rumah urut dan pusat hiburan seperti yang didakwa enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kelmarin.

“Kita (kerajaan negeri) ambil berat mengenai per-kara tersebut, mereka saja yang tak tau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke Ladang Nenas di Bukit Tangga, dekat sini semalam.

Beliau mengiringi Penge-rusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah melawat ladang tersebut.

Azizan diminta mengulas demonstrasi aman enam NGO itu semalam yang mendesak kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS memantau operasi dan pengeluaran lesen pusat hiburan di negeri ini.

Beliau yang enggan meng-ulas lanjut mengenai isu itu turut menyifatkan NGO terbabit tidak ada kerja lain dan hanya mahu mencari kesalahan yang dilakukan kerajaan negeri sahaja.

Ditanya mengenai memorandum 11 tuntutan yang dihantar kepadanya oleh NGO terbabit, Azizan berkata beliau tidak melihat memorandum tersebut dan tidak tahu kepada siapa memorandum itu diserahkan.

Beliau juga meminta wakil media mendapatkan penjelasan daripada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) mengenai isu tersebut.

“Dia (NGO) yang cakap, you wartawan pi periksa tengok lah… Saya bukan ketua agama. Dekat mana pusat hiburan tu bertambah?,” kata Azizan.

Antara lain, enam NGO terbabit mendakwa hanya kira-kira 300 pusat hiburan dan rumah urut yang memiliki lesen, manakala ba-nyak lagi beroperasi secara haram selain ada yang me-nyalah guna lesen perniagaan mereka.

NGO yang terlibat dalam demonstrasi di hadapan Wisma Darul Aman itu ialah Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Kedah, Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Kedah, Persatuan Penduduk Melayu Islam (PPMI), Persatuan Ibu Tunggal Kedah, Persatuan Penjaja Melayu Islam dan Badan Generasi Prihatin Kedah. — Bernama