125 dari DUN Kidurong terima bantuan kerajaan

0

BINTULU: Seramai 125 orang dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.59 Kidurong menerima Skim Bantuan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat, semalam.

Majlis penyerahan skim bantuan berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu Henry Ling Kuong Meng di firma guamannya yang terletak di Assyakirin Commerce Square, Jalan Sultan Iskandar di sini.

Secara umumnya, setiap penerima diberikan sumbangan wang tunai antara RM300 dan RM 1, 000 berdasarkan berdasarkan keperluan serta situasi yang dihadapi seperti pesakit kronik, mangsa bencana alam atau kemalangan, kematian dan juga bagi memperbaiki struktur rumah yang rosak.

Henry yang ditemui berkata, sumbangan itu merupakan bantuan khas yang disalurkan oleh kerajaan bagi membantu golongan kurang bernasib baik serta tidak mampu bekerja sekali gus meringankan beban mereka.

“Melalui bantuan sebegini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh mereka dan keluarga terutama dalam situasi kos hidup yang semakin tinggi dari hari ke hari,” ujarnya.

Sambil menyifatkan bantuan itu sebagai antara usaha kerajaan membantu rakyat yang kurang bernasib baik, Henry berharap rakyat di kawasan Kidurong terus mempertingkatkan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana hanya BN yang mampu mentadbir negara ini secara baik.

Sementara itu, seorang penerima bantuan Wong Ching Hing, 43, berkata, beliau terharu dan berterima kasih kepada SUPP Cawangan Bintulu kerana membantu menguruskan permohonan bagi mendapatkan bantuan itu.

Beliau yang merupakan seorang balu serta mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah berkata, bantuan itu akan meringankan beban keluarganya.

Menurut beliau, bantuan itu akan digunakan untuk membeli keperluan persekolahan anak-anaknya dan perbelanjaan harian lain.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang amat prihatin terhadap keperluan serta kebajikan rakyat yang memerlukan dengan memperkenalkan skim bantuan sebegini yang sememangnya banyak membantu dalam mengurangkan beban perbelanjaan keluarga,” ujarnya.

Nancy Aka, 38, turut menyuarakan pendapat sama di mana beliau amat berterima kasih kepada kerajaan kerana sanggup menghulurkan bantuan buat keluarganya yang menghadapi masalah kewangan pada masa sekarang.

“Dengan memiliki tiga orang anak yang masih kecil dan bersekolah, saya berasa amat bersyukur dan lega kerana melalui bantuan yang dihulurkan membolehkan saya mendapatkan barangan keperluan persekolahan buat anak-anak saya dan pada masa sama, membantu meringankan beban keluarga,” jelasnya.

Katanya, bantuan itu turut meringankan beban suaminya kerana buat masa sekarang, hanya suaminya sahaja yang mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan keseluruhan keluarga mereka.