BSN sekali lagi jadi penaja utama PNM

0

KUCHING: Bank Simpanan Nasional (BSN) sekali lagi menjadi penaja utama Putrajaya Night Marathon (PNM) yang bakal diadakan di Putrajaya pada 20 Oktober depan.

Acara itu dijangka akan menjadi tumpuan para pelari-pelari maraton dari seluruh pelosok dunia.

Kini, PNM dikenali sebagai BSNPNM 2012 yang pada tahun lalu, berjaya mendapatkan penyertaan sebanyak 10,000 pelari.

Pendaftaran untuk acara ini akan dibuka bermula hujung bulan ini dan dijangka menarik lebih ramai peserta dengan tema ‘Pushing Boundaries, Breaking Limits.’

Majlis pelancaran sebagai menandakan bermulanya BSNPNM 2012 telah dilangsungkan di The Westin, Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Belia dan Sukan pada 31 Mei lepas.

Turut hadir pada majlis pelancaran adalah Datuk Adinan Maning selaku Ketua Eksekutif BSN, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar (Perbadanan Putrajaya) Datuk Abd Ghani Ahmad dan Nithiaseelan Vegayathunam, Pengarah Twenty First Century Sports (M) Sdn Bhd (TFCS) selaku penganjur bagi acara larian ini.

Selepas kejayaan menganjurkan PNM 2011, BSN kembali memberikan komitmen yang penuh sebagai penaja utama untuk acara sukan yang unik ini.

“Sebagai penaja utama untuk tahun kedua berturut-turut, kami amat berbangga kerana dapat meneruskan penglibatan dan komitmen kami untuk menjayakan acara larian yang bertaraf antarabangsa.

“Kami berkongsi aspirasi yang sama dengan penganjur BSNPNM 2012 untuk menjadikannya sebagai acara yang boleh disertai oleh segenap lapisan masyarakat.

“Kami juga berharap acara ini dapat memberi lebih manfaat kepada para peserta di samping menjadikannya sebagai platform kepada BSN untuk menyempurnakan tanggungjawab sosialnya bagi membantu golongan yang amat memerlukan,” kata Adinan menerusi kenyataan akhbar di sini kelmarin.

Rakan penaja korporat yang turut terlibat dalam menjayakan BSNPNM 2012 ialah Perbadanan Putrajaya, Brooks, 100 Plus, Power Bar, NTV 7, Rohto-Mentholatum dan Pullman Putrajaya.

Acara larian ini dibahagi kepada tiga kategori iaitu 42km, 21km, 10km. Turut diadakan kategori 5km di samping larian 10km khas untuk menjana dana hasil penajaan dan sumbangan daripada badan-badan korporat.

Terdapat dua penerima rasmi sumbangan pada BSNPNM 2012 iaitu ‘Women’s Aid Organization’  (WAO) dan Persatuan Glaukoma Malaysia di mana mereka bakal menerima sumbangan menerusi kutipan yuran penyertaan dalam kategori badan-badan korporat.

Pada 2011, sebanyak lebih RM100,000 telah berjaya dikumpul menerusi penyertaan badan-badan korporat dan disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Sementara itu, Nithiaseelan berkata: “Tahap ketahanan yang bakal ditempuhi oleh para pelari merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai di mana ia memerlukan ketahanan mental dan fizikal; elemen utama dalam mana-mana larian maraton.

“Tema ‘Pushing Boundries, Breaking Limits’ menggambarkan cabaran yang lebih besar yang harus ditempuhi dalam setiap individu yang menyertai larian ini.

“Pada tahun ini, kami akan mengadakan forum yang akan membincangkan isu-isu relevan berkisar nutrisi makanan, informasi bagi mengelakkan kecederaan ketika berlari dan cabaran serta menangani halangan psikologi.

“Forum ini akan diadakan di empat negeri yang terpilih dan akan disertai oleh pakar-pakar yang berkaitan. Kami ingin memastikan setiap pelari mempunyai kekuatan mental dan fizikal,” tambahnya.

Pada majlis sama, TFCS turut mengumumkan pemenang pertandingan tema atau ‘tagline’ BSNPNM 2012 yang diadakan dari 2 hingga 16 April lepas.

Lima ‘tagline’ telah disenarai pendek daripada ratusan penyertaan yang dihantar melalui laman web sosial Facebook untuk undian secara online pada 27 April hingga 7 Mei lepas.

Tagline ‘Pushing Boundaries, Breaking Limits’ dicipta oleh Sze Jun King dan memenangi penyertaan percuma untuk mana-mana kategori BSNPNM 2012 (tidak boleh dipindahmilik), baucar tunai RM500 daripada Brooks dan Sijil Simpanan Premium bernilai RM500 daripada BSN.

Dalam pada itu, pihak penganjur juga telah mewujudkan blog snputrajayanightmarathon.blogspot.com untuk pelari marathon berkongsi maklumat dan pengalaman serta mendapatkan informasi terkini berhubung BSNPNM 2012.

Di samping itu, mana-mana organisasi yang berminat untuk penajaan boleh mendapatkan maklumat berkenaan dengan menghubungi [email protected].