Sunday, September 20

UNESCO berusaha pelihara bahasa Kelabit dan Bidayuh

0

SIBU: Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berusaha memelihara bahasa Kelabit dan Bidayuh menerusi dua projek di negeri ini.

Projek-projek ini diletakkan di bawah program dikenali sebagai ‘Bahasa Terancam’ bertujuan untuk membantu dan melindungi bahasa asal yang hampir pupus.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, bahasa Bidayuh dan Kelabit telah dipilih berikutan populasi mereka yang kecil.

“Tidak ramai orang Bidayuh dan Kelabit bertutur dalam bahasa mereka sendiri pada masa kini.

“Ini disebabkan oleh perkahwinan berlainan kaum di mana mereka menggunakan sama ada bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris di rumah,” katanya kepada pemberita, kelmarin.

Fatimah sebelum itu merasmikan pembukaan Persidangan Intervensi Awal Kanak-kanak Kebangsaan (NECIC) yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.

Beliau berkata, peribumi minoriti di negeri ini akan menghadapi kepupusan bahasa sekiranya tiada usaha diambil untuk memelihara dan mendidik mereka.

Bagi masyarakat Kelabit, beliau berkata, faktor penyumbang utama ialah kebanyakan mereka berhijrah ke bandar-bandar atau pinggir bandar.

“Bahasa yang dituturkan boleh menjadi hanya satu peratus daripada bahasa asal mereka,” katanya lagi.

Mengulas mengenai Taska Bahasa Warisan milik Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh di Kampung Bunuk, beliau berkata, kanak-kanak prasekolah diajar untuk menulis dan bercakap dalam bahasa Bidayuh oleh guru-guru terlatih.

Sementara itu, UNESCO dalam laman webnya berkata, kira-kira separuh daripada lebih daripada 6,000 bahasa yang dituturkan hari ini akan hilang menjelang akhir abad ini jika tiada langkah diambil untuk melindunginya.

“Dengan kehilangan bahasa yang tidak bertulis dan tidak berdokumen, manusia akan kehilangan bukan sahaja kekayaan budaya tetapi juga pengetahuan nenek moyang yang penting, khususnya, dalam bahasa-bahasa asli,” katanya.

Persidangan itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Antara yang hadir ialah pengerusi penganjur Datuk Janet Lau, Residen Sibu Sim Kok Kee dan Temenggung Vincent Lau.