Komuniti perniagaan gesa jalan di Bintulu dinaik taraf

0

BINTULU: Komuniti perniagaan di sini menggesa agar sistem jalan raya di bahagian Bintulu dinaik taraf bagi mengatasi kesesakan yang bukan sahaja merencatkan aliran pergerakan komuniti perniagaan dan industri di sini bahkan kesan buruk kepada penduduk setempat.

Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) merangkap Pengerusi SCCI Wilayah Bintulu Temenggung Barry Yek berkata, keadaan jalan di Bintulu disifatkan sebagai berada pada tahap serius apabila melibatkan kesesakan yang berlaku sekali gus memerlukannya dinaik taraf.

Justeru katanya, sistem jalan raya di Bintulu memerlukan pelan yang lebih baik untuk diperbesarkan bagi mengatasi kesesakan dan menampung pertambahan jumlah kenderaan yang ada.

“Saya melihat ada kalangan pemandu sentiasa hendak cepat namun dengan keadaan jalan sempit ditambah dengan sikap pemandu serta jumlah kenderaan berat yang semakin bertambah memburukkan lagi kesesakan yang ada sehingga menyebabkan kemalangan,” ujarnya dalan sidang media sempena dialog antara ahli-ahli SCCI dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu (DPPCB) di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Barry percaya kerajaan menyedari keadaan yang berlaku itu dan masalah yang dihadapi itu masih kekal begitu.

Sementara itu Pengerusi DPPCB Datuk Sia Hiong Ngie berkata, ada sedikit perubahan yang dilakukan ke atas sistem jalan raya di Bintulu namun Batu 3 hingga Batu 7 Jalan Kidurong perlu dinaik taraf dan perlu difikirkan cara yang sesuai bagaimana untuk menaik taraf atau memperbesarkan jalan raya di situ.

“Usaha menaik taraf jalan dari Lapangan Terbang Bintulu ke daerah Tatau juga perlu dipercepatkan. Banyak yang perlu dilakukan untuk mengatasi kesesakan membabitkan sistem jalan raya di Bintulu.

“Jika kerja-kerja membaik pulih atau menaik taraf jalan raya terus ditangguhkan ia bukan sahaja akan membawa lebih banyak masalah bahkan akan meningkatkan lebih banyak kos, manakala orang awam terus menderita terpaksa melaluikeadaan jalan raya yang begitu teruk termasuk komuniti perniagaan di sini,” katanya sambil berharap masalah jalan raya di Bintulu akan dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

Mengenai jalan raya di Kidurong katanya, jalan raya tersebut perlu diperbesarkan lagi kepada satu lorong dan rekaan jalan itu perlu dibuat sebaiknya.

Katanya, Bintulu merupakan tempat yang paling banyak mendaftar kenderaan berat di Sarawak iaitu mencecah 60 peratus.

Dalam pada itu Presiden SCCI Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg berkata, perkara itu perlu dibincangkan dengan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) terutama bagi membincangkan permasalahan yang dihadapi berkaitan aliran sistem jalan raya di Bintulu.

Namun katanya, melalui sesi dialog seperti yang dianjurkan semalam, pihaknya telah mendengar segala masalah yang dibangkitkan dan seterusnya mencari jalan untuk menyelesaikan segala isu berbangkit itu secara bersama.