DAP tidak patuh undang-undang

0

KUCHING: Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) meng-ambil tindakan sewajarnya terhadap Parti Tindakan Demokratik (DAP) kerana memasang bendera dan kain rentang tanpa permit di beberapa lokasi di bawah seliaan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Kain rentang itu tertera program ‘Malam Ubah’ yang diadakan di tempat letak kereta BDC malam Ahad lalu dengan tetamu kehormatnya ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Ketua Pemuda SUPP Tan Kai, yang juga Ahli Majlis MBKS berkata parti politik perlu memohon permit pengiklanan daripada MBKS dan MPP, tanpa permit itu terbukti pihak berkenaan telah melanggari Undang-undang Kecil Pengiklanan PBT.

“Saya telah memeriksa dengan ketua penguat kuasa majlis, DAP tidak ada memohon permit untuk meletakkan bendera dan kain rentang parti di kawasan berkenaan.

“Setahu saya Pakatan Rakyat mempromosikan CAT iaitu kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan, jadi DAP mesti mematuhi undang-undang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SUPP di sini semalam.

Tan berkata tidak ada maknanya untuk DAP bercakap mengenai mahu menjadi contoh (role model) sedangkan undang-undang mudah pun mereka gagal patuhi.

Tan bagaimanapun berkata, terserah kepada ketua penguat kuasa PBT terlibat untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda SUPP Wilfred Yap berkata, DAP masih perlu memohon permit untuk menggantung kain rentang walaupun permit mengadakan ceramah aman telah dimansuhkan.

“Tidak dinafikan, mereka tidak perlu memohon permit untuk mengadakan ceramah tetapi kain rentang mahupun poster masih di bawah bidang kuasa PBT,” katanya.

DAP memasang kain ren-tang berkenaan di beberapa lokasi antaranya berhampiran lampu isyarat Jalan Batu 7 (Kota Sentosa), berhampiran lampu isyarat Jalan Lapangan Terbang dan tempat letak kereta BDC.