Lebih 300 pemandu teksi Miri dapat manfaat TR1Ma

0

MIRI: Lebih 300 pemandu teksi di seluruh Miri termasuk Sibuti dan Batu Niah mendapat manfaat melalui baucar bernilai RM520 setiap seorang untuk menggantikan empat tayar di bawah inisiatif program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin (Ahad).

Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting berkata permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang secara online di www.spad.gov.my.

“Bagi yang tidak akses dengan Internet, pemandu teksi juga boleh mendapatkan borang permohonan TR1Ma di pejabat SUPP Cawangan Miri/Piasau mulai esok,” katanya semalam.

Semalam, mulai jam 5 petang, Sebastian mengedarkan borang permohonan kepada pemandu teksi di Lapangan Terbang Miri, stesen teksi di pusat bandar (berhampiran Central Market) diikuti stesen belakang Hotel Mega.

Katanya, terdapat kira-kira 250 pemandu teksi di Miri manakala selebihnya di Sibuti dan Batu Niah.

“Selepas permohonan mereka diluluskan, pemandu teksi boleh mendapat satu set tayar percuma di beberapa pusat servis tayar yang dilantik di Miri,” katanya.

Kelmarin, Najib ketika membuat pengumuman berkata, seramai 66,538 pemandu teksi di seluruh negara diberikan baucar bernilai RM520 sebagai menjaga kebajikan pemandu teksi sekali gus memastikan keselamatan perjalanan mereka setiap hari.

Pemberian subsidi itu melibatkan dana sejumlah RM35 juta melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tempoh dua tahun.