LPKP S’wak akan perjelas TR1Ma

0

KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak akan memperjelaskan Program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) kepada pemandu teksi di negeri ini dalam masa terdekat ini.

Penolong Pengarah LPKP Sarawak Siti Khairuliza Ibrahim berkata, buat masa ini pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci mengenai pelaksanaan program itu di negeri ini.

“Pihak LPKP tengah mendapatkan maklumat… buat masa ini kami belum dimaklumkan mengenainya (TR1Ma),” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai badan kerajaan yang akan melaksanakan program itu di negeri ini.

Pada masa yang sama, Khairuliza memberitahu bahawa di Semenanjung Malaysia program tersebut dilaksanakan di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Buat masa ini, kami tidak tahu sama ada kami akan melaksanakannya atau sebaliknya,” jelasnya sambil menambah pihaknya sedang mengumpulkan maklumat yang lebih jelas mengenai program tersebut.

Pada Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melancarkan program TR1Ma di pekarangan Stadium Bukit Jalil mengumumkan pemberian subsidi tayar RM520 setahun, bagi tempoh dua tahun kepada pemandu pertama teksi dan bantuan skim insurans perlindungan kemalangan diri kepada lebih 100,000 pemandu teksi di seluruh negara.

Selain itu, Najib turut memberitahu bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu model baharu untuk industri teksi dalam masa dua tahun serta pemberian permit teksi kepada individu.