SWP diminta jelaskan kenapa mahu menentang PRS

2

SIBU: “Jika Parti Pekerja Sarawak (SWP) melaung-laungkan mereka sebagai parti mesra Barisan Nasional (BN) kenapa harus menentang Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang,” kata Setiausaha Parti Rakyat Sarawak (PRS) Cawangan Skuau Tungku Balang.

Menurutnya, SWP harus menjelaskan kenapa PRS menjadi sasaran mereka dan kenapa tidak parti komponen BN yang lain.

“Ini jelas menunjukkan SWP bukanlah parti yang ber-sahabatkan BN kerana PRS adalah salah satu komponen BN. Kalau SWP rakan BN kenapa harus menentang PRS?

“SWP harus menjelaskan kenapa mahu menentang PRS pada PRU13 nanti. Kenyataan yang menyebut SWP sebagai rakan BN adalah mengelirukan disebabkan tindakan mereka mahu menentang PRS sedang-kan mereka menyokong BN (kecuali PRS),” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya semalam bagi membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Majlis Tertinggi SWP Dickson George yang memberitahu bahawa SWP adalah rakan BN dan bukannya sebuah parti pembangkang seperti diterbitkan oleh akhbar ini semalam.

“Saya daripada PRS cuma minta satu permintaan kepada SWP iaitu kenapa SWP mahu menentang PRS sahaja? Ia seolah-olah seperti ada dendam Presidennya (Larry Sng) dengan Presiden kami (Tan Sri James Masing).

“SWP harus menghentikan kenyataannya yang mendakwa SWP sebagai rakan BN. Mereka harus memperbetulkan dahulu kenyataan mereka,” jelasnya.

Menurutnya, kunjungan Perdana Menteri ke Rumah Jana, Batu Matop, Julau pada sambutan Gawai lepas jelas menunjukkan Datuk Seri Najib Tun Razak menyokong sepenuhnya calon-calon PRS dan inikan pula mereka mahu menentang PRS.

“Hentikanlah tindakan anda (SWP) yang mengelirukan rakyat serta kenyataan yang mendakwa diri sebagai rakan BN. Jangan membuang masa kerana tindakan itu bagaikan SWP sebuah parti pembangkang,” tambah beliau.