Tuesday, October 20

UMNO Pokok Sena, MKN sumbang kerusi roda dalam program ‘Janji Ditepati’

0

POKOK SENA: Tiga orang kurang bernasib baik termasuk seorang kanak-kanak tiga tahun yang terencat kaki kirinya menerima kerusi roda melalui program ‘Janji DiTepati’ UMNO bahagian Pokok Sena/Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ann Nur Ahmad Khairi, 3, yang terencat kaki kiri, Abu Yaakob, 74, dan ibu tunggal Zaiton Kadir, 40, yang dipotong kaki kiri akibat kencing manis menerima kerusi roda disampaikan Ketua UMNO Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang menziarahi mereka semalam.

Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Ramli Yunus yang turut hadir berkata beliau akan merujuk kes Ann Nur ke HSB untuk dibei rawatan fisioterapi.

Abu yang tinggal di kampung sama, adalah bekas pemain gendang silat menghidap kencing manis dan masalah jantung, kini dapat bergerak dengan adanya kerusi roda.

“Saya amat bersyukur mendapat sumbangan kerusi roda ini kerana sebelum ini agar sukar untuk bergerak,” kata Abu, yang telah jatuh sakit sejak empat tahun lepas, semasa ditemui selepas menerima sumbangan itu daripada Ahmad.

Zaiton pula berkata dengan adanya kerusi roda beliau dapat mengurangkan pergantungan kepada kakaknya, Zainab, 45, untuk bergerak selepas kaki kirinya dipotong di paras lutut tahun lepas akibat kencing manis.

“Kami tinggal berdua di Kampung Paya, Mukim Bukit Lada ini. Selama ini kakak sayalah yang banyak membantu termasuk bekerja mencari makan,” katanya.

Ahmad berkata, program Janji Di Tepati yang baru memasuki fasa pertama akan diteruskan bagi membantu golongan susah antaranya membaiki rumah, bantuan kerusi roda, cermin mata dan tongkat.

Katanya, di bawah program ini pemohon hanya perlu mengisi borang kaji selidik dan MKN akan menentukan kelayakkan mereka.

Turut hadir pengarah MKN Kedah, Datuk Ramli Sudin. — Bernama